SELEPAS berhijrah dan memilih kehidupan sederhana untuk mendekatkan diri dengan Maha Pencipta, pelakon jelita Eja mengambil keputusan berehat seketika daripada bidang seni.

Bukan tidak sayangkan kerjaya yang sudah sebati dalam diri semenjak lebih dua dekad lalu, namun pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin, 50, mempunyai alasan sendiri berbuat demikian.

Berkongsi kepada SinarPlus, pelakon terkenal cukup dikenali dengan santun dan sikap merendah diri itu mengakui tidak mudah melalui fasa tersebut.

“Selepas berhijrah dan tampil bertudung, banyak perubahan berlaku dalam kehidupan saya. Apatah lagi pada 2017 saya kehilangan ibu mertua yang benar-benar memberi impak kepada saya dan keluarga.

“Sejak itu saya mula terdetik untuk memperbaiki kehidupan agar menjadi lebih baik untuk keluarga dan orang-orang yang saya sayang.

“Saya nekad berehat daripada dunia seni dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan mendekatkan diri dengan ALLAH SWT,” ujarnya membuka cerita.

Tambah beliau, pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya, termasuk menjauhkan diri daripada media sosial demi memastikan agar keputusan dibuat itu tidak berbolak-balik.

“Bukan mudah untuk kekal dengan keputusan yang dibuat kerana ketika itu saya terlalu sayangkan kerjaya seni dan masih ragu-ragu apakah itu satu tindakan betul.

“Untuk memastikan diri tidak terganggu, saya tidak lagi mengemas kini perkembangan diri dalam media sosial. Malah saya juga unfollow ramai rakan dalam industri agar saya juga tidak mengikuti perkembangan mereka.

“Saya minta maaf kerana saya tahu ada dalam kalangan mereka berkecil hati dengan tindakan itu, namun saya perlu berbuat demikian untuk mengelak rasa rindu dengan rutin saya sebagai pelakon sebelum ini,” akuinya yang mula sibuk dengan pelbagai majlis ilmu dan pengajian agama.

Kata Eja, cahaya mata tunggalnya, Nur Eishal, 13, ketika itu juga baru sahaja memasuki alam persekolahan, sekali gus menuntut perhatian besar daripadanya sebagai ibu.

“Saya uruskan anak dan rumah tangga tanpa pembantu. Daripada seorang pelakon yang sibuk berkejar ke lokasi penggambaran sana sini, kehidupan saya berubah 360 darjah setelah bergelar suri rumah sepenuh masa.

“Bukan mudah, tetapi saya cuba dengan sebaiknya untuk menyesuaikan diri. Alhamdulillah suami banyak membantu dan cukup memahami,” ujarnya.

Kini bergelar usahawan

Ditanya tidakkah beliau berasa rindu untuk kembali beraksi di depan kamera, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem ke-24 itu pantas menafikan.

“Selama lebih enam tahun berehat, saya memang tidak mengambil tahu langsung tentang dunia hiburan, jadi kerinduan itu tidaklah begitu dirasai.

“Bagaimanapun saya tidak pernah mengatakan mahu meninggalkan terus bidang seni kerana tidak tahu apa yang akan menanti saya pada masa akan datang. Jika ditakdirkan rezeki saya masih ada dalam bidang seni, siapa saya untuk menolaknya.

Iklan

“Cuma buat masa ini, hasrat untuk kembali aktif itu belum ada biarpun sehingga kini saya masih terus didatangi dengan pelbagai tawaran berlakon,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Eja tidak dapat menyembunyikan keterujaannya yang kini sudah bergelar usahawan.

Tampil memperkenalkan produk Sambal Eishal yang baru sahaja memasuki pasaran sejak 8 januari lalu, selebriti itu berharap dapat menimba pengalaman berbeza dalam bidang baharu yang diceburi.

“Daripada Ratu Bulu Mata kepada Ratu Sambal. Saya sendiri tidak menyangka dengan rezeki yang ALLAH berikan pada saya hari ini.

Iklan

“Sejak dulu saya pernah terfikir untuk menceburi bidang perniagaan, namun ketika itu saya tidak ada masa kerana banyak perkara lain perlu didahulukan.

“Alhamdulillah peluang mengusahakan Sambal Eishal datang pada waktu tepat. Anak sudah besar, sekali gus memberi ruang kepada saya menceburi bidang perniagaan,” katanya yang menamakan produk tersebut bersempena nama puterinya.

Sambal Eishal yang didatangkan dengan empat perisa iaitu Sambal Petai, Sambal Mangga, Sambal Limau dan Sambal Kicap itu kini dijual di rangkaian pasar raya utama di ibu kota.

“Biarpun belum dilancarkan secara rasmi, Sambal Eishal mendapat sambutan luar biasa. Saya bersyukur dan terharu apabila ramai peminat tampil memberikan sokongan.

“Biarpun tidak tampil dengan produk seni, namun mereka setia bersama saya dengan pendekatan berbeza,” akhirinya.