Adaptasi kisah benar, Sayap Sayap Patah cengkam emosi

A
A
A

FILEM daripada produksi Indonesia yang ditunggu ramai, Sayap Sayap Patah kini menemui penonton di Malaysia bermula 13 Oktober lalu.

Naskhah arahan pengarah terkenal Rudi Soedjarwo yang sebelum ini pernah meledak dengan filem Ada Apa Dengan Cinta dan Tentang Dia itu mengetengahkan sebuah kisah benar daripada kejadian rusuhan berdarah yang berlaku di lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia pada 2018.

Kejadian melibatkan sekumpulan tahanan pengganas itu mengorbankan lima anggota keselamatan pasukan khas Densus 88 yang cukup menggemparkan negara itu.

Melihat kepada posternya, penonton mungkin menggambarkan tentang elemen cinta romantis, namun apabila merujuk kepada sinopsisnya pula cerita ini kelihatan memberat kepada drama dan aksi.

Bagaimanapun Sayap Sayap Patah yang menampilkan aktor terkenal, Nicholas Saputra dan Ariel Tatum sebagai teraju utama itu dihidupkan dengan rasa berbeza apabila berjaya menggabungkan elemen aksi dan romantis secara seimbang.

Filem ini mengisahkan tentang Adji (Nicholas Saputra) dan Nani (Ariel Tatum), pasangan suami isteri yang hidup bahagia dan bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Namun kerjaya Adji sebagai anggota polis yang sentiasa berdepan tugasan tidak terjangka membuatkan Nani dihambat kebimbangan sehingga menjejaskan kandungan.

Kebimbangan itu bertukar tragedi apabila Adji terperangkap dalam rusuhan di sebuah lokap menempatkan tahanan pengganas, sementara Nani bertarung nyawa melahirkan anak.

Rudi Soedjarwo selaku pengarah bijak menggunakan kreativitinya menyampaikan isi cerita dengan baik menerusi gabungan elemen cinta romantis dan drama aksi secara seimbang.

Pendekatan itu sekali gus berjaya mengelakkan naskhah tersebut terlihat seperti sebuah dokumentari yang merakam kisah tragis mencengkam jiwa.

Pada awalnya perjalanan cerita agak perlahan dan banyak memfokuskan kepada kehidupan Adji dan Nani sebelum ia bergerak sedikit demi sedikit membawa kepada situasi tegang pergolakan jiwa sang isteri dan akhirnya kepada kemuncak peristiwa berdarah.

Babak-babak dipaparkan banyak yang membekas di hati sehingga ada ketika mampu membuatkan penonton menitiskan air mata. Mesej tentang pengorbanan yang dibawa dalam naskhah ini cukup dirasai dan menyelinap ke hati.

Bukan sahaja pergorbanan kepada pasangan, keluarga dan negara, tetapi juga tentang pengorbanan sia-sia melibatkan segelintir manusia bagi memenuhi misi tertentu.

Tidak dapat dinafikan, tarikan utama filem ini mungkin terarah kepada Nicholas Saputra sebagai hero, namun dalam masa sama lakonan bintang lain turut cemerlang mengisi peranan. Antaranya watak ketua pengganas bernama Leong yang dilakonkan oleh Iwa K, mencuri perhatian ramai.

Secara keseluruhannya Sayap Sayap Patah adalah sebuah naskhah yang tidak harus dilepaskan dan wajib ditonton.

Sayap Sayap Patah

Bahasa: Indonesia

Klasifikasi: P13

Genre: Aksi/drama

Durasi: 1 jam 53 minit

Pengarah: Rudi Soedjarwo

Pelakon: Nicholas Saputra, Ariel Tatum, Iwa K, Nugie

Tarikh Tayangan: 13 Oktober 2022

Terbitan: Juragan Kaya Sdn Bhd

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca