PERJALANAN seni anak kelahiran Ranau, Sabah ini sudah bermula sejak sedekad lalu setelah dia dinobatkan sebagai naib juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Tatkala sedang meniti tangga populariti, Siti Adira Suhaimi mengejutkan ramai dengan berita perkahwinannya di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Jarang berkongsi perihal peribadi di media sosial, Adira berkata, dia melalui kehidupan yang bahagia bersama  suami, Datuk Seri Adnan Abu dan tiga anak iaitu Anggrek, 4, Asan, 3, dan Anggun, 2.

Ditanya rahsia mengharungi segala dugaan dan ujian dalam hidup, Adira berkata, sejak dahulu lagi dia lebih gemar go with the flow dengan kehidupan yang sudah diaturkan ALLAH SWT.

“Kehidupan saya alhamdulillah, anak-anak sudah besar dan saya juga sudah boleh membiasakan diri sebagai ibu serta mengatur karier seni saya sebaik mungkin.

“Sejujurnya ketika mula-mula buat keputusan untuk berkahwin, saya tak tahu saya bersedia atau tidak untuk menjadi isteri.

“Bila hamil, saya tak tahu bersedia atau tak untuk menjadi ibu. Saya hanya go with the flow. Saya percaya, apa yang ALLAH SWT dah tentukan untuk saya, itu lebih baik.

“Tak dinafikan, mula-mula susah juga sebab anak kecil dan usia mereka tidak jauh. Tetapi ada yang membantu dan secara tidak langsung saya pun dah boleh membiasakan diri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk kecantikan Fofaskin di Bukit Kiara baru-baru ini.

Permata hati Adira dan Datuk Red.

Tidak hanya menyesuaikan diri dengan status sebagai isteri, ibu bekerjaya, Adira, 30, berkata, dia juga sudah boleh membiasakan diri dengan situasi semasa yang masih lagi bergelut melawan pandemik, Covid-19.

Apatah lagi, rata-rata rakyat Malaysia perlu akur apabila tidak dapat pulang ke kampung menyambut Lebaran bersama keluarga tercinta.

“Walaupun baru setahun Covid-19 melanda Malaysia, tapi ini tahun kedua kita semua terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini tahun kedua tak dapat pulang menyambut hari raya di kampung. Tetapi alhamdulillah bila masuk tahun kedua, saya dah membiasakan diri.

“Memang sedih tapi nak buat macam mana kan? Jadi saya akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja bersama suami dan anak-anak,” katanya yang memperlahankan karier seni sepanjang Ramadan bagi memberi perhatian kepada keluarga.

Ditanya adakah dia juga turut terkesan dengan penularan Covid-19, penyanyi yang kini hits dengan lagu Kesempatan Bagimu itu tidak menafikannya.

Bagaimanapun ujar Adira, dia tidak menyalahkan takdir dan melihat masih ada rezeki buatnya di sebalik ujian yang melanda.

Iklan

“Saya percaya, ramai yang terjejas, saya juga begitu. Boleh dikatakan 70 peratus pendapatan saya terjejas setelah Covid-19 melanda sebab banyak persembahan yang dibatalkan, ditunda.

“Tetapi saya sentiasa yakin dengan rezeki daripada ALLAH SWT, ia ada dalam pelbagai bentuk. Tak ada tawaran menyanyi, ada tawaran promosi produk di Instagram dan sebagainya.

“Saya juga beranikan diri cuba menceburi bidang perniagaan. Pada masa sekarang, saya kena lakukannya untuk pendapatan sampingan berikutan kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir,” katanya.

Tak kisah digelar Ratu Lagu OST

Iklan

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya, Adira berkata, dia akan tampil dengan sebuah lagi lagu runut bunyi atau OST bagi sebuah drama.

Bagaimanapun buat masa ini, dia tidak pasti bila rakaman lagu tersebut akan dibuat.

Pembabitan Adira dalam rakaman lagu OST pastinya sudah tidak asing lagi. Biarpun sering menjadi pilihan untuk menyanyikan OST sehingga digelar Ratu Lagu OST, Adira tidak mempunyai masalah dengan jolokan itu.

“Saya tak kisah apabila diberikan lagu untuk OST drama atau filem. Bagi saya itu juga rezeki, asalkan lagu itu sesuai dengan saya.

“Malah saya berterima kasih kepada pihak-pihak berkenaan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu bagi OST drama atau filem mereka,” jelasnya.