PELAKON Aedy Ashraf menyimpan impian mahu membintangi filem biopik yang mengisahkan tentang tokoh tanah air.

“Saya sudah selalu diberikan watak fiksyen dan hanya perlu diterjemahkan sendiri menerusi pemahaman saya serta bayangan pengarah.

“Jadi, saya teringin untuk cabar diri bawa watak filem biografi seperti dilakukan oleh Farid Kamil dalam Anwar: The Untold Story.

“Kalau diberi peluang untuk memilih, saya mahu menjayakan watak sebagai Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan bekas Menteri Kesihatan, ” katanya.

Tambah Aedy, dia amat mengagumi karisma dan ketokohan figura berusia 47 tahun itu yang disifatkan sangat solid sebagai seorang lelaki.

“Saya tahu sukar untuk menjadi kenyataan, namun itu salah satu cita-cita saya. Selain itu, saya juga ada perancangan untuk menjadi pengarah.

“Pengalaman berlakon selama ini, insya-ALLAH akan digunakan dalam pembikinan naskhah sulung saya suatu hari nanti,” katanya yang pernah berjinak-jinak sebagai pengarah bersama rakan-rakannya.

Berniaga

Biarpun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon, ia tidak menghalang Aedy untuk mencuba cabang lain yang tidak ada kena mengena dengan bidang seni iaitu perniagaan.

Sudah tujuh tahun terlibat dalam industri berasaskan makanan, pemilik nama penuh Mohammad Addy Ashraf Rosmadi teruja kerana menjadi sebahagian daripada jenama Fam Fries.

Iklan
Aedy komited dengan perniagaan berasaskan makanan, Fam Fries.

Kekal serius meneruskan minatnya sebagai usahawan, dia berpendapat tidak ada rahsia besar untuk berjaya melainkan diri sendiri perlu bekerja keras dan bersungguh-sungguh.

“Untuk berniaga, kita harus banyak belajar bagi membina perniagaan yang besar dan stabil.

“Hakikatnya memulakan perniagaan sendiri bukanlah perkara mudah, malah proses yang dilalui perlulah dimulakan dengan ilmu pengetahuan dalam bidang yang anda jalankan,” ujarnya pada majlis pengumuman wajah dan rasa baharu Fam Fries di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan

Sebagai Pengarah Pemasaran Fam Fries, bintang berusia 29 tahun itu sentiasa bersemangat untuk meningkatkan lagi mutu industri makanan segera Malaysia.

“Saya seperti orang lain juga, perniagaan ini ada turun naiknya terutama ketika pasca pandemik melanda. Sangat sukar tetapi alhamdulillah kami berjaya harungi.

“Harapan saya agar orang ramai akan terus menyokong jenama ini dan kami dapat memperluaskan lagi di seluruh Malaysia,” ujarnya.