Afdlin Shauki tidak tolak menjadi wakil rakyat sekiranya diberikan peluang

AFDLIN
AFDLIN
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, semakin ramai selebriti menunjukkan minat untuk berkecimpung secara aktif dalam dunia politik.

Biarpun bukan perkara baharu, namun senario itu menerima reaksi pelbagai daripada penggiat seni.

Penerbit, pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki berpendapat, penglibatan selebriti dalam dunia politik adalah perkembangan positif dan secara tidak langsung boleh menjadi wakil suara industri.

Bagaimanapun tegas Afdlin, 51, mana-mana individu yang berminat untuk menjadi wakil rakyat perlulah mempunyai keinginan untuk membantu.

“Tak kisahlah dia mewakili mana-­mana parti politik pun, Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau lain-lain, apa yang penting niatnya adalah membantu rakyat.

“Misi kita ialah pastikan masalah orang dapat diselesaikan, bukan masuk untuk kuasa. Kita kena tanam niat dari awal-awal lagi untuk bantu rakyat.

“Saya harap dan doakan semoga berjaya buat mana-mana rakan artis yang sertai angkatan politik dan dicalonkan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Assistant arahan Adrian Teh di The Starling, Damansara pada Selasa.

Afdlin mengakui suka mendekati masyarakat dan bertindak sebagai 'problems solver'.

Ditanya adakah beliau mempunyai keinginan sama untuk bergelar wakil rakyat pada masa akan datang, pengarah Baik Punya Cilok itu tidak menolaknya.

Bahkan Afdlin yang kini bersama PKR tidak menafikan mahupun mengiyakan ura-ura namanya dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Sama ada saya dicalonkan atau tidak, itu terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya ahli PKR biasa saja.

“Cuma ada ­de­ngar­­-­de­ngar nama dicalonkan untuk jadi wakil rakyat, tetapi saya tak boleh sahkan atau nafikan.

“Kalau tak dapat jawatan pun, saya tetap akan sokong sesiapa sahaja yang dicalonkan itu. Apa yang penting bagi saya adalah untuk menbantu orang.

“Saya percaya kita kena bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan tugasan dapat membantu masyarakat itu dilaksanakan dengan baik. Dan ya, kalau dicalonkan, saya bersedia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Afdlin juga memuji kejayaan rakan artis seperti Datuk Dira Abu Zahar yang mewakili parti BN pada waktu ini, sekali gus membuktikan bahawa golongan selebriti juga mampu berjaya dalam bidang politik.

“Macam Dira, lebih banyak orang seni berjaya ia menunjukkan satu benda iaitu kami ini bukan bodoh seperti ramai yang orang sangkakan.

“Kita semua bersekolah dan tahu isu-isu semasa, cuma kerjaya kami adalah bidang seni. Dira contohnya, juga membuktikan bahawa wanita juga mampu terpilih pada jawatan tertinggi pengelolaan negara.

“Bagus ada orang seni dalam politik kerana mereka boleh jadi suara anak seni dalam arena ini kerana mereka faham apa yang berlaku dalam industri,” ujarnya.

Petani moden

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Afdlin memberitahu sedang mengusahakan rumah hijau dan menanam beberapa jenis sayuran di Sendayan, Negeri Sembilan.

Jelasnya, aktiviti itu sudah dibuat semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sementelah kerjaya seni tidak dapat diteruskan seperti biasa.

“Tidak dinafikan ketika PKP, saya juga antara anak seni yang struggle untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bukan hanya tidak boleh berlakon, malah tidak boleh menyanyi mahupun buat persembahan komedi. Jadi saya sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk menjana pendapatan.

“Projek ini datangnya daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Mereka buka beberapa rumah hijau dan saya usahakan dua rumah hijau.

“Antara sayuran yang ditanam adalah daun sup, daun bawang dan kobis. Hasil tanaman itu dijual di pasar borong atau pasar tani,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga sedang sibuk dengan proses menyiapkan filem terbaharu arahannya, Baik Punya Along.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca