AIDILFITRI bagi penyanyi popular, Afieq Shazwan menyimpan ceritanya yang tersendiri. Apatah lagi semenjak pemergian arwah datuk begitu meninggalkan kesan dalam hidup neneknya, Puan Noor, 70.

Menurut Afieq atau nama sebenarnya, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 24, dia rapat dengan datuk dan neneknya kerana sejak kecil dibesarkan oleh mereka.

“Sejak kecik sehingga kini, saya tinggal bersama nenek yang saya panggil sebagai mama. Bila datuk dah tak ada, kami tinggal berdua.

“Walaupun ada rumah sendiri dan rumah kedua ibu bapa juga tidak jauh daripada rumah nenek, saya lebih selesa tinggal bersama nenek.

“Jadi puasa dan raya pun, kami selalu berdua. Terlalu banyak kenangan manis antara saya dan nenek,” ujarnya.

Berdua dengan nenek, raya Afieq tetap meriah.

Bukan hanya kasih sayang yang tidak bersempadan, kata penyanyi lagu Lelaki Di Telefon itu lagi, neneknya banyak mengajarnya erti kehidupan.

Malah setiap kali tiba raya, ada sahaja aktiviti dilakukan mereka berdua, sekali gus mencipta memori yang akan selamanya terpahat di hati.

“Walaupun hanya berdua, tapi saya rasa dah cukup meriah sangat bila di rumah. Baik sewaktu bulan Ramadan mahupun raya, ada sahaja aktiviti kami bersama.

“Paling seronok, nenek turunkan ilmu membuat ketupat pada saya. Setiap kali raya, tugas wajib saya adalah buat ketupat daripada proses menganyam sehinggalah siap masak.

Iklan

“Ketupat ni sebenarnya juadah kegemaran arwah datuk, tapi bila datuk dah tak ada, nenek dah tak mahu buat. Jadi sayalah yang ambil-alih tugasan itu untuk hidupkan ‘feel’ raya kami,” katanya yang wajib mengenakan baju Melayu dijahit neneknya pada 1 Syawal.

Dalam pada itu, Afieq mengakui terkilan apabila aktiviti ziarah raya pada tahun ini tidak dibenarkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Kalau ikut perancangan, saya mahu tunaikan impian nenek yang mahu beraya dengan saudara-maranya di Johor.

Iklan

“Selalunya memang sayalah yang jadi pemandu nenek kalau dia mahu beraya ke mana-mana. Tapi disebabkan PKP, hasrat nenek tidak dapat ditunaikan dan kami hanya beraya di Klang sahaja,” ujar Afieq yang menghadiahkan kasut dan beg tangan baharu sempena raya untuk neneknya.

 

(FOTO: Rosli Talib)