TIDAK keterlaluan untuk disebut, lagu Hanya Kau Yang Mampu dendangan Aizat Amdan merupakan naskhah hebat yang masih melekat dalam minda peminat seni sehingga pada saat ini.

Dengan ritma santai, vokal yang bersahaja ditambah setiap aksara kata yang puitis, membuatkan sesiapa sahaja akan jatuh cinta dengan karya yang dihasilkan pada tahun 2008 itu.

Lagu tersebut jugalah yang meletakkan Aizat terus di mercu kejayaan dan berada di dalam liganya tersendiri.
Bukan itu sahaja, ciptaan lain antaranya seperti Lagu Kita, Sungai Lui, Susun Silang Kata, Jerrypah, Sahabat, Pergi, Fikirlah dan banyak lagi masih ‘enak‘ untuk didengar.

Lagu Sungai Lui misalnya, menjadi pendebatan hebat dalam kalangan peminatnya lantaran ada yang keliru dengan maksud di sebalik nukilan liriknya. Masakan tidak, ia langsung tidak menyentuh tentang Sungai Lui.

Pun demikian,ramai pemerhati yang berseloroh. Kata mereka, usahlah dipertikaikan kerana peri pentingnya, masyarakat sekurang-kurangnya tahu tentang kewujudan Sungai Lui yang terletak di Hulu Langat, Selangor. Itu antara penangan Aizat pada awal kemunculannya.

Sesungguhnya, kisah perjalanan seni anak kelahiran Kuala Lumpur itu boleh diumpamakan dengan pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Meskipun tidak bergelar juara gara-gara tersingkir pada minggu ketujuh dalam program realiti popular, Akademi Fantasia (2007), Aizat terus mengorak langkah tanpa sedikitpun menoleh ke belakang.

Beliau maju ke hadapan dengan menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, Kasi Gegar Entertainment (KGE) dan berjaya melancarkan tiga buah album melalui label KGE. Beliau juga berjaya menganjurkan beberapa konsert di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Justeru, tidak keterlaluan dikatakan, Aizat berjaya melangkaui populariti rakan-rakan artis yang seangkatan dengannya ketika itu.

Sebelum terlupa, kisah beliau yang berjaya menurunkan berat badan daripada 112 kilogram (kg) kepada 65kg menjadi berita viral. Itu juga dinamakan kesungguhan.

Tokoh Muda Negara 2011 itu sebenarnya tidak menyepikan diri. Ya, penulis pasti mungkin sesetengah yang mempunyai pandangan skeptikal terhadapnya. Cakap-cakap nakal yang mengatakan namanya sudah tidak relevan pada masa kini kerana dibanjiri lambakan penyanyi muda seperti Naim Daniel dan Haqiem Rusli sebenarnya hanya satu pendapat terpencil.

Ironinya, penyanyi berusia 32 tahun itu kini muncul dengan single bahasa Melayu bertajuk Tekad, manakala lagu Inggeris bagi pasaran luar negara berjudul The Last Thing sedang hebat berkumandang di saluran YouTube kira-kira sebulan lalu.

Transformasi

Berkesempatan mewawancara pencipta lagu dan penulis lirik itu, memberi peluang kepada penulis bertanya lebih lanjut tentang ‘obsesinya‘ mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Soalan itu dijawab dengan penuh teliti oleh empunya badan. Katanya, beliau telah menjalin kerjasama dengan sahabat baiknya, Yuna menerusi lagu The Last Thing.

Serentak dengan itu juga, beliau tanpa teragak-agak melakukan transformasi terhadap imejnya yang dikatakan lebih berani. Pada masa sama, nama Aizat Amdan turut diubah kepada Ai.Z, iaitu nama pentasnya yang baharu.

Kepada SinarPlus, penyanyi itu berkata, dirinya masih Aizat Amdan dan kekal dengan jati dirinya yang asal. Namun, bagi menyesuaikan dengan pasaran dan persekitaran industri muzik terutama di Amerika Syarikat, perubahan itu harus dilakukan.

“Ini merupakan pesona yang saya cipta agar boleh dipadankan dengan nyanyian lagu Inggeris. Ai.Z ini juga merupakan sisi berbeza yang ada dalam diri saya yang mungkin orang lain tidak tahu.

“Perkara sebegini mungkin dirasakan asing, tetapi bagi industri muzik luar negara, ia merupakan satu perkara biasa. Penyanyi Beyonce misalnya, pernah memperkenalkan dirinya sebagai Sasha Fierce,“ terang beliau mengenai penjenamaannya sebagai Ai.Z.

Aizat terus bercerita. Jelasnya, setiap individu mempunyai personaliti lain dalam diri mereka atau disebut sebagai alter ego. Lazimnya, mereka akan mempamerkan sikap, gaya bercakap atau keperibadian berbeza berdasarkan situasi dan keperluan semasa dalam keadaan sedar. Situasi itu tidak serupa dengan personaliti berganda.

Melihat prestasi dan kejayaan Yuna yang berjaya mencuri tumpuan peminat muzik global, telah menyuntik inspirasi dan semangat kepada Aizat.

Justeru, penyanyi berkenaan berterus-terang, beliau tidak menolak sekiranya perlu berhijrah dan menetap di luar negara, sama seperti yang dilakukan oleh rakan duetnya itu. Sebelum ini, Yuna dan Aizat pernah bergandingan dalam lagu berjudul Dwihati.

“Saya diibaratkan seperti bermula semula dari bawah. Oleh itu, fokus dan usaha gigih amat diperlukan kerana kejayaan tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa kerja keras,“ katanya.

Perkasakan Suara Malaysia (Terus Bersinar)

Bakat Aizat sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Vokalnya sangat jujur, tenang dan mendamaikan. Berbekalkan itu semua, beliau telah dipilih dan diberi penghormatan untuk menyumbang suara menyanyikan lagu khas buat akhbar Sinar Harian sempena ulang tahun akhbar berpengaruh itu yang ke-15 semalam.

Walaupun proses rakaman mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan, anak seni serba boleh itu berasa bangga kerana berpeluang mendendangkan lagu yang dicipta oleh Mel Ramlan, Anas Amdan, Abner Kissey dan Satugram. Sementara liriknya ditulis oleh Mel, Anas dan Nan Hidayat Nan Azmie.

Sejajar dengan tajuknya Perkasakan Suara Malaysia (Terus Bersinar), kata Aizat, karya tersebut didedikasikan khas untuk warga Sinar Harian yang bertungkus-lumus menyajikan berita-berita terbaik kepada masyarakat setiap hari.

Iklan

“Lagu ini antara lain menceritakan tentang semangat kewartawanan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Bukan mudah untuk menjadi seorang wartawan kerana ada ketikanya ia memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan nyawa.

“Masyarakat mungkin nampak kerja ini mudah, tetapi anda mungkin tidak tahu bagaimana wartawan itu berusaha untuk memberikan berita sahih kepada pembaca. Tugas mereka ini wajar dihargai.

“Sebagai seorang anak seni, saya juga ingin mengucapkan terima kasih dengan sokongan wartawan yang sentiasa mendukung kerjaya saya. Sejujurnya saya amat mengagumi para wartawan,“ ujar beliau mengenai lagu yang bakal dilancarkan secara rasmi pada hari ini.

Elak kemurungan

Kami kemudian bersembang mengenai topik yang lebih serius dan bersifat semasa. Antaranya mengenai pandemik Covid-19 yang semakin membelenggu banyak di negara, ditambah dengan varian Delta dan Lambda yang disifatkan lebih ekstrem.

Aizat yang masih kekal memegang status bujang itu berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, rutin hariannya banyak berubah.

Bagi mengelak hidupnya terus dibelenggu dengan masalah stres, beliau nampaknya melakukan sesuatu yang boleh menghiburkan hati.

“Perasaan murung itu ada, tetapi lebih kepada kecewa kerana tidak boleh keluar dan menghabiskan masa di luar seperti sebelum ini.

“Untuk keluar dari kepompong itu, saya menonton filem, membaca, dan memasak. Ya, saya memasak tidak kira resipi Melayu, Cina atau India, semua saya ‘bedal‘ masak,“ katanya berseloroh.

Iklan

Pernah berada dalam ‘status‘ obesiti, ujar Amdan, beliau seboleh-bolehnya mengelak ‘mimpi ngeri‘ itu berulang kembali. Justeru, aktiviti senaman terus diutamakan.

“Saya meluangkan waktu dengan melakukan senaman dengan cara berlari di sekitar kawasan rumah atau melakukan aktiviti kardio.

“Percayalah, tumpuan dan tekanan dapat dikurangkan dengan melakukan aktiviti sukan,“ katanya.

Ketika rancak bercerita, penulis bertanyakan tentang reaksinya terhadap vaksin. Bukan apa, desas-desus yang bertebaran kini mendakwa terdapat selebriti yang tergolong dalam kumpulan antivaksin.

Menjawab pertanyaan itu, dengan nada tenang Aizat berkata, setiap individu mempunyai perspektif tersendiri.
“Semuanya adalah tentang penjagaan kesihatan. Dalam hal ini yang penting, amalkan pemakanan yang sihat dan kekal mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

“Insya-ALLAH kita doakan semoga vaksin yang diterima itu akan mendatangkan kebaikan pada masa sekarang dan akan datang,“ ujar beliau yang masih menunggu giliran untuk menerima vaksin dos pertama.

Melihat situasi masyarakat yang terkesan, pesan Aizat, jenguk-jenguklah jiran tetangga dan bertanya khabar kepada orang yang berada di sekeliling.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram