Aidilfitri Yang Ku Rindu hadiah daripada Ameng buat peminat

A
A
A

SYAWAL yang bakal diraikan tidak lama lagi memberikan makna tersendiri buat penyanyi yang pernah mencipta nama bersama kumpulan rock legenda Spring, Ameng.

Pelantun yang sinonim dengan himpunan lagu pop rock dan balada popular seperti Sampai Hati, Bourgenvilla dan Butakah Cinta itu mengakui, dia begitu teruja ketika Ramadan menyelak harinya bermula 13 April lalu.

Bersyukur diberikan ALLAH kesempatan untuk kembali bertemu bulan yang penuh keberkatan buat umat Islam itu, Ameng berkata, lebih istimewa apabila dia turut berpeluang mendekati peminat dengan buah tangan terbaru.

Lagu Aidilfitri Yang Ku Rindu kata Ameng, menjadi bingkisan paling berharga buat peminat yang sentiasa menanti kemunculan terbarunya, di samping membuktikan cintanya terhadap bidang nyanyian masih utuh.

Lebih istimewa apabila lagu itu juga menjadi simbolik silaturahim antara dirinya dan peminat kerana ia dihasilkan oleh peminat setia yang mengikuti perjalanan karier seninya sejak bersama Spring lebih tiga dekad lalu dikenali sebagai Rash.

"Memang saya pernah merakamkan lagu raya, tetapi usaha sebelum ini tidak memberikan kepuasan jitu kepada diri saya sebagai penyanyi.

"Sebagai peminat fanatik kumpulan Spring, Rash sangat memahami cara nyanyian dan genre lagu yang saya hasilkan ketika bersama kumpulan itu.

"Untuk memastikan sentuhan ini memenuhi kriteria yang saya inginkan, saya turut memberikan idea dari segi komposisi melodi kerana saya mahukan keselesaan ketika rakaman.

"Dengan pengalaman yang ada, saya dan Rash berkongsi idea serta mencari titik tengah kerana mahukan proses penghasilan lagu ini memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak," katanya.

Ameng bekerjasama dengan peminat setia Spring yang dikenali sebagai Rash dalam menghasilkan lagu Aidilfitri Yang Ku Rindu.

Ameng percaya, Aidilfitri Yang Ku Rindu bakal menjadi pilihan peminat setia yang merindui kemunculan terbarunya, meskipun dia menghadirkan karya yang sedikit berbeza.

"Kebanyakan lagu raya menyuntik elemen nostalgia dan kemelayuan dengan mengetengahkan genre muzik tradisional dan seperti asli, joget serta keroncong.

"Saya pula memilih untuk tampil dengan genre balada kerana muzik seperti itu adalah cerminan jiwa saya," katanya.

Tidak menafikan, tempoh promosi untuk lagu raya agak terbatas memandangkan ia hanya diputarkan pada musim perayaan, Ameng bagaimanapun yakin, Aidilfitri Yang Ku Rindu bakal bertahan, seterusnya menjadi pilihan peminat setiap kali lebaran menjelma.

Justeru sebagai penulis lirik, Ameng menekankan jalan cerita yang bertemakan cinta kerana lirik seperti itu dekat di hati peminat muzik Melayu, selain lebih mudah diterima.

"Aidilfitri Yang Ku Rindu mempunyai nilai sentimenal yang tersendiri dan saya percaya, ia mampu merentas sempadan masa untuk terus menjadi pilihan peminat setiap kali musim perayaan tiba.

"Saya berharap pencinta industri muzik bersikap lebih terbuka dan terus memberikan sokongan terhadap karya terbaru saya, meskipun lagu raya nostalgia lebih mendapat tempat kerana sudah sebati di pendengaran ramai.

"Secara peribadi, saya tidak terlalu mengharapkan penerimaan yang luar biasa, tetapi saya percaya sudah memberikan yang terbaik seperti yang dimahukan peminat," katanya.

[embed]https://youtu.be/Gzy2XqZP3Ek[/embed]

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca