BIARPUN lahir dan membesar di luar negara, namun cinta yang mendalam terhadap budaya Melayu mendorong Aiman Nasir Wynne meninggalkan bumi United Kingdom (UK) dan menetap di Malaysia.

Cerita anak berdarah kacukan Britain (ibu) dan Pasir Puteh (ayah) itu, sejak kecil lagi dia telah dibesar dan diterapkan dengan kehidupan Islam dan budaya Melayu.

Diiringi restu daripada kedua-dua ibu bapa, pemuda berusia 24 tahun itu mengambil keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur.

“Kali pertama datang ke Malaysia ketika berusia 16 tahun, saya suka melihat nilai kekeluargaan yang sangat tinggi.

“Komuniti di sini juga saling menyokong antara satu sama lain. Paling penting, Malaysia kaya dengan pelbagai jenis makanan.

“Bila saya sudah berusia 18 tahun, saya minta kebenaran untuk kembali, tetapi disebabkan pandemik, perancangan itu tidak berjalan dengan baik.

“Dari situ timbulnya idea untuk membuat video dan dimuat naik menerusi saluran YouTube. Ramai yang bantu saya belajar bercakap bahasa Kelantan.

“Bila saya menetap di sini, saya mahu mengenali sisi diri yang satu lagi,” katanya ramah.

Lebih selesa dikenali sebagai Aiman Nasir di Malaysia berbanding nama sebenarnya Aiman Wynne, jejaka tinggi lampai itu mahu orang melayannya seperti lelaki Melayu dan bukannya ‘mat saleh’.

“Sejujurnya saya belum lagi fasih berbahasa Melayu, baru saja nak mula dan ia akan jadi lebih mudah jika orang bercakap Melayu dengan saya.

Iklan

“Kalau belajar sendiri atau di sekolah, ia akan mengambil masa yang sangat lama. Jadi cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa adalah dengan bercakap menggunakan bahasa yang ingin dipelajari.

“Ingin ditegaskan juga, apa yang saya buat sekarang ini adalah ikhlas dan bukan mengambil kesempatan untuk kandungan media sosial semata­mata,” katanya yang suka berkain pelikat.

Dilamar

Berkongsi perkembangan terbaharu, Aiman yang kini mengintai peluang dalam industri seni baru sahaja dilamar oleh syarikat pengurusan bakat, Mask Team.

Iklan
AIMAN NASIR
Intai peluang dalam industri seni, Aiman meminati dunia lakonan dan pengacaraan.

Mengakui meminati dunia seni, Aiman berharap dapat menceburi bidang lakonan dan pengacaraan secara serius.

“Insya-ALLAH mengikut perancangan pihak pengurusan, saya akan muncul dalam satu program travelog jelajah seluruh Malaysia.

“Secara tidak langsung, dapatlah saya mengenali lebih dekat tentang budaya Malaysia,” ujarnya yang mahu mempelajari mengenai Mak Yong, Wayang Kulit dan pelbagai seni tradisional lain.