BIARPUN meledak menerusi aplikasi TikTok, pemilik nama sebenar Nurulain Edruce terlebih dahulu memulakan langkah dalam industri seni sebagai pelakon dan model, sebelum beralih ke dunia pengacaraan.

Penulis secara peribadi mengenalinya sejak lapan tahun dan masih mengikuti perkembangan selebriti terkenal itu sehingga kini.

Meskipun masih baru bergelar pengacara pada awal penglibatannya, Ain bertuah kerana telah diberi kepercayaan oleh Primeworks Studios mengendalikan program Mad Market, menggantikan selebriti terkenal, Hanis Zalikha.

Ujarnya, ramai menyangka beliau dikenali kerana ‘merempuh’ jalan singkat untuk berada pada kedudukan sekarang.

AIN EDRUCE

Namun, sejujurnya empunya badan telah merentas pelbagai pancaroba sepanjang sedekad berada dalam industri seni.

“Saya menjadi anak seni bermula pada tahun 2011 menerusi drama Gadis Semasa Sunsilk. Kemudian, berhenti seketika untuk memberi tumpuan kepada pelajaran dan kembali sebagai hos.

“Antara program awal kendalian saya adalah Mad Market di TV9. Ikutkan tak ramai pun yang tahu saya sudah lama berada dalam dunia pengacaraan. Ada yang sangka saya ialah influencer dan terus masuk (dalam platform seni tanah air). Mereka anggap saya popular dengan jalan mudah.

“Walhal, saya juga bertatih seperti pengacara lain, lalui pelbagai onak ranjau sebelum berada pada tahap ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Karaoke Superstar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Suami ‘sporting’

Mengalih bicara tentang Karaoke Superstar, Ain berkata, program berkenaan memerlukannya tampil bersahaja dan tidak terlalu mengikut skrip.

“Saya sebenarnya boleh saja mengendalikan program bual bicara wanita, cuma saya rasa jiwa saya lebih terarah kepada program hiburan. Saya juga bersyukur kerana sentiasa diberi peluang untuk belajar benda baharu dengan pengacara yang lebih senior seperti Datuk Aznil Nawawi.

“Saya pula jenis yang tak banyak tanya, tetapi saya korek ilmu melalui pemerhatian cara mereka bekerja. Salah satu yang saya belajar daripada Datuk Aznil adalah untuk menjadi lebih yakin dan tahu cara mengendalikan orang lain,” tuturnya.

AIN EDRUCE
Bagi Ain, suami dan anak adalah sebahagian punca rezekinya.

Ditebak mengenai karier lakonan pula, selebriti yang popular menerusi drama Kekasih Paksa Rela itu berkata, beliau sejujurnya rindu untuk kembali ke set penggambaran.

Pun demikian, keinginan tersebut perlu diketepikan seketika memandangkan anak sulungnya, Soraya baru sahaja berusia setahun, pada 19 Mei lalu.

Iklan

“Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi drama Camelia pada tahun 2020. Kemudian apabila wabak Covid-19 melanda, saya hamil dan bila Soraya lahir, saya rasa tak betah tinggal Soraya lama-lama.

“Memang rindu nak berlakon, tetapi saya nak tunggu Soraya besar sikit. Cuma saya ada menerima untuk membintangi sitkom Jenaka Kampung Kalut dan akan memasuki set penggambaran musim terbaharu tidak lama lagi,” ujarnya.Sementara itu, disoal mengenai kenyataan nakal segelintir netizen yang melihat Ain mempergunakan suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa untuk konten Tik Tok, wanita tinggi lampai itu tidak dapat menahan ketawa.

Jelas Ain, Amirul sendiri merasakan perkara sama, namun tidak kisah untuk membantu dan menyokongnya.

“Kadang-kadang Amirul ada cakap, ‘cuba berdiri atas bakat sendiri’. Dia sendiri rasa video Tik Tok saya ‘meletup’ sebab ada dia dan Soraya.

“Walaupun itu muka paling ikhlas dia boleh bagi ketika buat video Tik Tok bersama, tetapi dia tetap membantu saya. Mungkin baginya itu salah satu cara menyokong saya dari belakang.

Iklan

“Saya juga tak kisah kalau orang kata saya gunakan suami dan anak. Bagi saya sejak berkahwin, dalam rezeki saya, ada rezeki suami dan anak. Ada juga tawaran yang mahukan kami bertiga. Jadi saya anggap ia sebagai rezeki bersama,” katanya.

Seperti yang dijangka, bukan sahaja Amirul menjadi bahan pertikaian, malah kandungan TikToknya juga dicemuh oleh pelayar internet.

“Saya memang jenis baca komen. Kadangkala terasa juga, bila cakap dekat suami, dia pula yang suruh saya abaikan.

“Bagi saya, selagi Amirul tidak menghalang, saya buat tak tahu saja,” jelasnya menutup bicara.