PENYANYI Aina Abdul memberitahu, busana yang digayakan pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Ahad mempunyai signifikan tersendiri buatnya.

Jelas Aina, momen dia berpusing sebaik berakhirnya persembahan lagu Semalam sekaligus memperlihatkan leretan kain merah pada bahagian belakang busananya menjadi simbolik kepada lagu Sumpah yang dipersembahkan pada AJL34.

“Bila saya berpusing, ia adalah simbolik lagu ini ibaratnya, apa yang terjadi kepada saya ‘semalam’ adalah Sumpah.

“Perkenalan lagu Sumpah dengan semua orang adalah menerusi darah (kontroversi persembahan AJL34). Jadi Aina bersama team nak kaitkan persembahan dulu dan sekarang tetapi bukan secara ketara,” ujarnya pada sesi sidang media sebaik berakhirnya AJL35 pada awal pagi Isnin.

Busana yang digayakan oleh Aina Abdul penuh maksud tersirat.

Dalam pada itu, menjelaskan lebih lanjut mengenai inspirasi busananya, Aina menerusi akaun Instagram miliknya memberitahu, setiap details pakaiannya mempunyai maksud tersirat.

“Topi yang direka menjadi seperti sebuah tempat tidur seorang bayi atau kanak-kanak kecil adalah hasil interpretasi lirik ‘tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini’.

“Bait kata ‘jasad ini’ adalah metafora kepada figura seorang bayi atau kanak kanak kecil yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah ‘Semalam’.

“Jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat adalah menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali.

“Perincian pleated pada jacket tersebut dipilih hasil inspirasi daripada daun palas kipas atau ‘palm tree’. Ini adalah interpretasi seni reka fesyen terhadap lirik ‘diri ini bagai daun gugur’.

“Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua dan kering dan sudah layu. Ia juga simbolik kepada perkataan ‘Semalam’ yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap.

“Helain bahagian dalam busana ini yang dicedok dari rekaan pakaian tradisional Vietnam Ao Ďai atau ‘long tunic’ adalah lambangan kepada sifat seorang wanita yang feminin dan ayu. Ia diperbuat dari material lembut dan polos yang menggambarkan hati seorang wanita yang mudah rapuh dan cepat tersentuh.

Iklan

“Perincian kain pleat yang membentuk satu imej bulat dibawah helaian jaket bermaksud seperti wanita ini sedang berdiri di atas daun yang terapung,” jelasnya.

Tambah Aina, parachute atau payung terjun dipilih sebagai elemen terbesar dalam reka bentuk busananya bagi melambangkan imej daun gugur yang ditiup angin.

“Imej grafik yang dipancarkan di atas kain adalah lambangan kepada bait ‘calar ungu’ yang terdapat di dalam lirik ‘Engkau pergi jua, tinggal ku sendiri dengan seribu calar ungu’.

“Gerakan penari yang menolak-nolak kain parachute dari dalam melambangkan kesan lebam sebagai interpretasi maksud ‘calar ungu’.

Iklan

“Wanita ini juga menyampaikan kisahnya bersama dengan penari-penari yang berada di dalam parachute. Ini lambangan kepada situasi dimana wanita ini mewakili insan-insan lain yang turut merasai penderitaan yang sama,” ujarnya.

Pada AJL35 yang berlangsung Ahad lalu, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aina, Semalam, dipilih sebagai pemenang kedua AJL35.

Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM35,000 dan trofi.