Aina Abdul keluar dari zon selesa, lagu Sepi bahasa Korea jadi taruhan

A
A
A

PERJALANAN karier nyanyian Aina Abdul tidak bermula mudah. Pelbagai onak ranjau dilaluinya sebelum berada di tahap sekarang.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 28, memulakan kerjaya muziknya sebagai penyanyi di kelab malam, restoran dan lounge termasuk No Black Tie pada usia 23 tahun.

Anak kelahiran Johor Bharu itu juga pernah beberapa kali menyertai pelbagai pertandingan realiti sebelum bakatnya menjadi perhatian tatkala membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) menerusi lagu Sumpah.

Dalam tempoh setahun setelah berakhirnya AJL34, Aina berjaya menarik perhatian ramai. Bukan hanya peminat muzik dalam negara, tetapi juga di luar negara terutamanya di Korea Selatan.

Menyedari peluang dan ruang besar yang ada, anak bongsu daripada lima orang adik beradik itu mula mengatur langkah dengan menterjemahkan lagu Sepi dalam bahasa Korea.

Mengekalkan judul sama, Aina berkata, dia mendapat bantuan bekas rakan sekuliahnya yang kini terlibat dengan dunia muzik di Korea Selatan.

“Saya menghubungi rakan saya, Alice yang kini bekerja di Korea Selatan sebagai penulis lirik. Saya minta bantuannya terjemahkan lirik Sepi dalam bahasa Korea.

“Dengan pengalaman menyanyikan semula beberapa lagu Korea sebelum ini, saya nyanyikan semula lagu Sepi dan alhamdulillah ia menjadi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai wajah kempen produk Truskin, keluaran Trulooks di Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Aina, apa yang membuatkan dia lebih tekad mencari ruang melebarkan sayap ke negara itu adalah kerana penerimaan positif rakyat Korea menerusi beberapa video nyanyiannya di YouTube sebelum ini.

“Saya bukan nak jadikan bahasa Korea sebagai bahasa kedua, tetapi bagi saya bahasa negara luar adalah bagus untuk saya cuba.

“Saya bersedia menerima teguran dan kritikan. Lagu Korea pun ada menyelitkan lirik dalam bahasa Inggeris dan cara sebutan mereka pun tidak begitu sempurna.

“Bagaimanapun ramai peminat menerima perkara itu dengan baik dan tidak mempertikaikannya kerana kejujuran yang dipersembahkan.

“Lagipun saya sering mendapat respons positif bila menyanyikan lagu Korea menerusi video yang saya muat naik di YouTube.

“Jadi kiranya saya lakukan sesuatu untuk peminat saya di sana sebagai tanda penghargaan. Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan YouTuber dari sana selepas ini,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai keberaniannya dalam berfesyen, Aina berkata, dia tidak kisah andai ada menggelarkan dirinya mangsa fesyen.

Aina tak kisah digelar mangsa fesyen.

Jelasnya yang lebih senang bereksperimentasi bagi mencari kelainan.

“Saya berterima kasih kepada pengarah seni saya iaitu Naz yang banyak memberi idea mengenai gaya saya. Saya suka dengan idea daripada orang lain sebab kadang kala, cantik di mata kita, belum tentu cantik di mata orang lain.

“Saya akui ada yang kata saya mangsa fesyen, tapi saya rela jadi mangsa fesyen sebab saya suka mencuba.

“Sejujurnya saya ada terfikir suatu hari nanti untuk keluarkan label pakaian, tudung atau saya sendiri. Bagaimanapun saya mahu memberi perhatian terhadap karier nyanyian dahulu,” katanya.

Atasi kekurangan diri

Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya sebagai wajah kempen produk Truskin, Aina berkata, dia berdepan masalah kulit semenjak sekolah.

Masalah itu semakin ketara setelah dia perlu bersolek untuk membuat persembahan dan jurusolek terpaksa mengambil masa lebih lama untuk menyolek wajahnya.

“Kulit saya memang bermasalah sejak sekolah lagi sehingga saya terpaksa mendapatkan khidmat nasihat doktor.

“Masalah ini membuatkan saya rasa rendah diri kerana menyusahkan jurusolek.

“Saya menggunakan produk ini sejak dua tahun lalu. Saya berasakan ia sesuai dengan kulit saya.

“Alhamdulillah, sejak itu kulit saya pun menunjukkan perubahan,” katanya.

Aina (dua dari kiri) diumumkan sebagai wajah kempen produk TruSkin.

Dalam perkembangan lain, Aina berkata dia kini tampil dengan single kedua sempena Ramadan dan Syawal iaitu Syukur Lebaran.

Katanya, lagu Irama Malaysia itu satu percubaan setelah ramai peminat berharap dia tampil dengan genre lagu  berbeza.

“Saya harap peminat suka lagu berentak joget ini sebab ramai minta saya tampilkan kelainan.

“Insya-ALLAH saya juga merancang untuk keluar dengan empat buah lagu lagi sebelum penghujung tahun ini termasuk sebuah lagu Inggeris,” akhirinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca