Air Force The Movie, karya yang boleh dibanggakan

A
A
A

RASANYA belum ada lagi mana-mana penerbit yang berani mengetengahkan sisi tugas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam drama mahupun filem.

Kebiasaannya, kita disogok dengan kisah mengenai polis, bomba, tentera darat mahupun laut.

Justeru apabila Multimedia Film Productions dan FXHammer Films mengumumkan penghasilan Air Force The Movie : Selagi Bernyawa, penulis agak teruja.

Namun ingin diingatkan, tidak adil rasanya jika anda mahu membandingkan Air Force The Movie dengan Top Gun: Maverick kerana dari segi kosnya sahaja sudah jauh berbeza.

AIR FORCEAdi Putra sekali lagi membuktikan kemampuannya membawakan apa sahaja watak. Di samping Nas-T yang tidak kurang hebatnya.

Apa yang boleh penulis katakan tentang filem yang dibintangi Aiman Hakim Ridza, Datuk Adi Putra, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Iman Corinne dan Jack Tan itu adalah ia adalah sebuah naskhah yang boleh dibanggakan.

Filem ini secara ringkasnya mengisahkan Kapten Adib dan Mejar Adnan bersama skuadnya yang terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan.

Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas. Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua.

Zafran, abang ipar kepada Adib dan juga seorang pilot SUKHOI berusaha untuk menyelamatkan mereka.

AIR FORCEKemunculan anggota sebenar PASKAU akan membuatkan penonton terasa meremang bulu roma.

Perjalanan cerita ini bermula dengan agak pantas dengan diselang-seli suasana cemas keadaan terkini di Namburi serta penceritaan yang kisah kehidupan Adib dan Zhafran.

Debaran mula terasa saat melihat pesawat mereka di tembak jatuh dan semua berusaha untuk menyelamatkan diri.

Bermula dari situ, penonton akan disogok dengan usaha tujuh tentera berusaha menyelamatkan diri dan melindungi seorang wartawan serta jurugambarnya dari tempat bergolak.

Secara peribadi, penulis merasakan ke semua pelakon berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik. Penonton juga seolah-olah akan terasa kita berada dalam situasi cemas itu.

Penonton akan disajikan dengan aksi cemas di lokasi perang berselang-seli dengan misi TUDM merancang usaha menyelamatkan semua anggotanya.

Tidak hanya misi menyelamat semata-mata, penonton juga akan disajikan dengan kisah beberapa watak penting sedikit demi sedikit, di samping sinematografi yang menarik.

AIR FORCEWalaupun muncul hanya untuk beberapa babak, namun kemunculan Aiman tetap memberi kesan.

Babak kemuncak, tentunya melibatkan pertempuran antara pesawat SUKHOI dan MiG-29 akan membuatkan penonton terimbau ketika menonton cerita Top Gun : Maverick (jika anda sudah menontonnya).

Cuma pada pandangan peribadi penulis, bila meletakkan judul Air Force, penulis membayangkan akan ada lebih banyak babak melibatkan pesawat tentera udara.

Rasanya kalau diletak judul PASKAU (Pasukan Khas Tentera Udara), filem ini masih mampu menarik perhatian ramai. Kenapa penulis katakan begitu? Tonton Air Force The Movie : Selagi Bernyawa dan nilai sendiri. Tetapi seperti penulis katakan awal, filem ini masih boleh dibanggakan dan jangan lupa bawa tisu ketika menonton.

Air Force The Movie : Selagi Bernyawa

Pengarah : Zulkarnain Azhar, Frank See

Pelakon : Hakim Ridza, Datuk Adi Putra, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Iman Corinne dan Jack Tan.

Genre : Aksi, Ketenteraan, Patriotik

Durasi : 1jam 44minit

Klasifikasi : P13

Tayangan : 25 Ogos 2022

Keseluruhan : * * * *

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca