Air mata, emosi berlagu di pentas BCL - Blossom Intimate

A
A
A

IMPIAN Bunga Citra Lestari untuk menghadiahkan sebuah persembahan istimewa buat peminat dan keluarganya di Malaysia akhirnya terlaksana menerusi Konsert BCL - Blossom Intimate yang berlangsung di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.

Menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya, Bunga atau turut dikenali sebagai BCL mengakui sangat gementar untuk berdiri di pentas dan berdepan dengan 2,800 penonton yang hadir meraikan persembahan tersebut.

Tampil bercerita dan berkongsi memori indah yang pernah dilalui bersama arwah suami, Allahyarham Ashraf Sinclair menerusi lagu, penyanyi kelahiran Indonesia itu membuka pentas dendangan Sunny, Aku tak Mu Sendiri, Saat Kau Pergi, Kecewa dan Ingkar, selain duet bersama anak didiknya, Danar menerusi lagu Dulu dan Pernah Muda.

“Hari ini saya dapat kembali ke rumah kedua saya, Malaysia. Banyak sekali kenangan dan pengalaman indah yang saya lalui di sini.

“Bagaimanapun, perasaan saya kali ini berbeza sekali berbanding sebelumnya. Saya sangat gementar kerana kembali ke Malaysia adalah sesuatu yang tidak mudah. Saya tidak dapat menjelaskan apa yang saya rasai di sini, pada saat ini.

“Apa yang pasti, saya mahu bercerita tentang kisah saya melalui rangkaian lagu-lagu yang saya bawakan daripada manisnya jatuh cinta bersama Ashraf sehingga saat saya merasakan sakit yang begitu dalam dan bangkit kembali meraikan hidup,” ujarnya dalam nada penuh makna.

Emosi

Memasuki segmen kedua, Bunga mula mengalunkan lagu-lagu yang menusuk hati seperti Love Story, Tentang Kamu, Wanita Terbahagia, 12 Tahun Terindah, Cinta Sejati, Legenda dan Harta Berharga.

Biarpun kelihatan cuba mengawal emosinya dan sentiasa melemparkan senyum seawal persembahan bermula, air mata penyanyi ini akhirnya gugur juga di pentas saat mengalunkan lagu 12 Tahun Terindah yang liriknya ditulis sendiri hasil ‘curhat’ selepas pemergian arwah suami.

Emosi sama turut dirasakan penonton seisi dewan yang turut sama terdiam menyaksikan momen tersebut yang bersulam paparan foto-foto kenangannya bersama suami dan anak, Noah Sinclair yang melatari skrin.

“Sebelum pandemik (Covid-19) terjadi, saya kehilangan orang yang paling saya cintai. Saya merasa itu adalah titik terendah dalam hidup saya.

“Saya cuba mencari sesuatu di sebalik kehilangan itu. Daripada wanita terbahagia, saya menjadi wanita paling menderita pada saat itu rasanya. Bagaimanapun saya perlahan-lahan mencuba untuk menjalani proses dan bangkit.

Lagu 12 Tahun Terindah ini adalah ‘curhat’ peribadi saya. Jadi saya mahu kongsikan bagaimana indahnya 12 tahun yang saya jalani bersama Ashraf dalam persembahan ini. Bukan untuk bersedih, tetapi untuk merayakan keberuntungan saya yang diberikan Allah dalam tempoh itu,” katanya.

BCL mendapat sokongan penuh daripada keluarga yang turut hadir menjadi saksi persembahan istimewa itu.

Tidak hanya penonton yang bertepuk tangan tanda memberikan sokongan, tetapi keluarga terdekat Bunga termasuk ibu dan bapa mertuanya yang setia memberikan semangat sepanjang persembahan berlangsung.

Lebih istimewa, konsert tersebut turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin. Tidak ketinggalan rakan-rakan artis seperti Anuar Zain, Ella, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Hanis Zalikha, Catriona Ross dan Puteri Aishah.

Aksi Noah

Pada segmen ketiga, Bunga tampil lebih bersemangat menerusi lagu Jangan Gila, Aku Wanita, Badai Telah Berlalu (single baharu), Karena Ku Cinta Kau dan duet bersama Ray menerusi lagu popularnya dengan Ari Lasso, Aku dan Dirimu.

Noah lincah di pentas mengiringi persembahan ibunya dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Menerusi segmen sama, Dewan Plenari gamat seketika dengan jeritan penonton apabila Bunga tampil menyanyikan lagu Mencari Cinta dan Mengapus Jejakmu bersama Ariel Noah. Meski penampilan Ariel hanya secara virtual, namun ia sudah cukup menghangatkan suasana.

Bagaimanapun penampilan anak tunggal Bunga, Noah, 13, ketika mengiringi persembahan ibunya menerusi lagu Dance Tonight dengan menyanyikan bahagian rap, ternyata mencuri perhatian ramai. Aksi lincah Noah itu begitu mengingatkan penonton kepada arwah bapanya.

Bunga benar-benar mengotakan janjinya untuk meninggalkan momen indah buat peminat di Malaysia menerusi persembahan dua jam, BCL - Blossom Intimate.

(FOTO: ICON ENTERTAINMENT)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca