PELAKON Aishah Azman meluahkan rasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab seorang penerbit drama dalam menangani isu pelakon daripada produksinya yang positif Covid-19.

Menerusi perkongsian yang dilakukan di Instagram Story miliknya, Aishah, 25, mendedahkan penerbit terbabit telah memaksa salah seorang pelakon yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 untuk datang menjalani penggambaran seperti biasa.

“Saya sebagai salah seorang pelakon untuk team Rindu Yang Hilang sangat kecewa dengan tanggungjawab penerbit team ini.

“Dia boleh memaksa seorang pelakon yang memang dah ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid untuk hadir menjalankan penggambaran tanpa fikirkan pihak pelakon dan team yang lain.

“Atas sebab tak nak bayar lebih untuk tambahan hari, dia  juga biarkan pelakon untuk bekerja hingga 24 jam atas kerana tak nak mengeluarkan bajet lebih,” tulisnya.

Menurut pelakon yang turut dikenali menerusi drama Suri Katrina, dia baru pertama kali bekerjasama dengan penerbit yang mementingkan diri sendiri seperti itu.

“Pertama kali saya bekerjasama dengan penerbit yang mementingkan diri begini.

“Selepas dapat tahu pelakon terbabit positif Covid, dia langsung tak bertanggungjawab untuk membayar semua kos swab test pada semua team Rindu Yang Hilang,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, jelas Aishah, dia melakukan ujian calitan Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada pelakon Laila Nasir  yang turut membintangi drama berkenaan sebelum disahkan positif pada 22 April lalu.

“Alhamdulillah. Saya negatif. Terima kasih semua yang mendoakan baik-baik untuk saya dan keluarga serta team Rindu Yang Hilang.

“Moga Allah membalas kepada pihak yang tak bertanggungjawab dengan setimpal,” ujarnya.

Iklan

 

(SUMBER: Instagram Aishah Azman)