Aizat Amdan kongsi karya, jawab kritikan
MESKI penyanyi baharu datang silih berganti memeriahkan industri muzik tanah air, penyanyi Aizat Amdan bersyukur dirinya masih diingati, malah karya daripadanya sentiasa dinanti peminat.
Enggan mensiakan kepercayaan yang diberikan, Aizat atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Amdan, mahu terus tampil menghasilkan lagu-lagu indah buat pendengar muzik tanah air.
Terbaru, penyanyi itu meluahkan rasa teruja apabila single terkini, Hadiahkan Duka Kepadamu diterima baik peminat sejak mula dilancarkan pada Ramadan lalu.
“Setiap kali mahu menghasilkan produk baharu, ada beberapa perkara bermain di fikiran saya termasuklah pertanyaan, adalah lagu baharu ini akan diterima baik oleh mereka atau tidak.
“Namun apabila melancarkan lagu ini pada bulan Ramadan yang lalu, sambutan yang diterima begitu baik daripada semua pihak. Hilang segala gundah apabila lagu ini mulai disukai oleh peminat dan mula dimainkan oleh stesen radio,” ujarnya.
Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai, malah lagu berentak balada ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama Kerasnya Takdir yang disiarkan di slot Akasia, TV3.
Lagu Ajai
Bagi Aizat, apabila Hadiahkan Duka Kepadamu menjadi runut bunyi untuk drama, itu memberikan banyak kelebihan untuk produk berkenaan diterima dengan lebih cepat seterusnya menangkap halwa telinga pendengar yang lain.
“Saya gembira apabila orang mula mengetahui lagu ini sedikit demi sedikit. Ada dalam kalangan peminat yang terkejut apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh saya.
“Ada yang beranggapan lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi baharu dan tak kurang juga yang jatuh cinta kali pertama mendengarkannya. Semua itu memberikan keterujaan kepada saya," katanya.
Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, penyanyi berusia 34 tahun itu berkata, banyak perbincangan dilakukan demi memastikan kelancaran proses rakaman.
“Pastinya saya teruja memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Abang Ajai sendiri memang seorang komposer yang berpengalaman luas dan sudah menghasilkan sejumlah lagu yang banyak.
“Sebagai penyanyi saya mahu sampaikan lagu berkenaan sehabis baik. Sejujurnya saya menjadikan lagu ini buah tangan baharu yang akan diminati oleh pendengar seperti lagu-lagu terdahulu,” akuinya.
Sensitif
Dalam pada keterujaan meraikan karya baharu, Aizat yang turut tampil dengan jenama Ai.Z untuk pasaran lagu Inggeris itu meluahkan rasa terkilannya apabila terkait isu ‘body shaming’ yang dimainkan oleh warganet gara-gara fizikal terkininya.
Akui terkesan apabila perubahan fizikalnya dijadikan bahan gurauan ramai selepas muncul dalam sebuah persembahan bebeberapa bulan lalu, Aizat menyifatkan perkara tersebut sesuatu yang sensitif dan tidak harus dijadikan gurauan.
“Saya bukan menyuarakan untuk diri saya sahaja, tetapi buat sesiapa juga yang menjadi mangsa body shaming dalam kalangan masyarakat kita. Body shaming sekarang sudah tak cool,” tegasnya.
Penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu itu mahu masyarakat lebih peka agar perkara tersebut tidak menjadi kebiasaan ramai.
“Saya akui perkara itu memberi kesan pada diri sehingga sampai satu ketika, saya terpaksa luah kepada isteri. Kadang-kadang komen negatif daripada netizen memang boleh buat kita rasa sangat terkesan.
“Mungkin itu juga faktor kenapa saya semakin jarang berkongsi hantaran di media sosial tentang aktiviti saya,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang