PENYANYI Aizat Amdan mendedahkan kini sudah mempunyai teman istimewa dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Menurut Aizat, 33, wanita pilihan hatinya itu merupakan pengurus bakat di Kasi Gegar Entertainment (KGE) yang dikenali sebagai Elyssa Alia, 34.

Tidak berahsia, Aizat juga mengakui sudahpun menghantar rombongan merisik Elyssa pada 12 Februari lalu.

“Elyssa adalah wanita yang begitu istimewa dalam hidup saya. Insya-ALLAH kami dalam perancangan untuk melangkah ke fasa lebih serius (perkahwinan) selepas ini.

“Kalau semuanya berjalan lancar, kami merancang untuk berkahwin pada tahun ini. Doa-doakanlah agar hasrat kami dipermudahkan.

“Cuma buat masa ini saya tidak dapat nak confirm apa-apa dulu disebabkan banyak perkara yang belum diputuskan lagi, selain situasi semasa di mana mungkin tak lama lagi ada pilihan raya dan sebagainya.

“Apa-apa pun saya akan kongsikan berita tersebut dengan semua nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Armani Entertainment Group di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Aizat lagi, perkenalan dengan Elyssa bermula ketika wanita tersebut bertugas sebagai penyampai radio Rakita.

“Kami dah kenal lebih dua tahun lalu ketika dia bekerja sebagai penyampai radio Rakita.

Iklan

“Saya senang berkawan dengannya kerana sikap penyayang yang dimikili. Bukan sahaja pada saya, tetapi juga kepada orang-orang di sekelilingnya. Dia sangat suka tolong orang.

“Jadi saya rasa dia adalah orang yang saya boleh fokus untuk jangkamasa yang panjang,” jelasnya.

Iklan

Perkongsian tersebut sekali gus menidakkan dakwaan yang mengatakan penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu telah pun berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata ekoran sekeping foto kanak-kanak mirip wajahnya telah dimuat naik oleh Elyssa di laman Instagramnya sebelum ini.

“Wajah budak itu memang macam muka saya kerana dia adalah anak kakak saya. Elyssa sangat sukakan budak-budak dan sebab itulah dia memuat naik gambar tersebut.

“Bagaimanapun, kami belum berkahwin, tetapi sedang merancang ke arah itu,” jelasnya.