MESKI hampir tujuh tahun menceburi bidang nyanyian, Nana Sheme tetap menganggap diri sebagai orang baharu dan masih lagi belajar untuk menjadi lebih baik dalam industri seni.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nur Nabilah Hashimi, 26, dalam masa sama sentiasa terbuka berkongsi ilmu dan pengalaman dimiliki dengan mereka yang berminat.

Penglibatan Nana dalam projek Langkah Baru iaitu program berkonsepkan edutainment yang memfokuskan pembangunan bakat dan pembinaan rangkaian dalam industri muzik Malaysia turut menjadi medium terbaik untuknya merealisasikan hasrat itu.

“Saya dijemput mengendalikan kelas Pengurusan Media Sosial untuk projek ini, sekali gus berkongsi kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut kepada peserta yang terlibat.

“Walaupun pengalaman saya tidaklah banyak mana berbanding artis lain, namun saya percaya ada sesuatu boleh dimanfaatkan bersama sepanjang sesi yang diadakan itu.

“Apa yang lebih menggembirakan, perkongsian daripada saya itu mendapat maklum balas baik daripada peserta terlibat. Kesungguhan yang ditunjukkan mereka juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk membuat perkongsian,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berkongsi perkembangan terkini kerjaya seni, Nana berkata, dia bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.

Penyanyi kelahiran Sarawak yang mula dikenali dengan lagu Hantu Atau Buaya itu mengakui teruja kerana single tersebut merupakan karya ciptaannya sendiri.

“Berbanding lagu-lagu sebelum ini, karya terbaharu ini agak istimewa kerana menampilkan sisi lain diri saya. Jika sebelum ini peminat mengenali saya dengan lagu-lagu catchy, kini sebaliknya.

“Lagu kedua ciptaan sendiri ini lebih berat dari segi penceritaan dan sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan hidup saya.

“Saya harap peminat bersabar menunggu pelancaran lagu ini yang turut menyaksikan kolaboratif saya bersama seorang penyanyi lelaki,” kata Nana.

Iklan

Dalam perkembangan lain, penyanyi kelahiran Sarawak itu meluahkan kecewa apabila akaun YouTube miliknya digodam pada minggu lalu.

Jelas Nana, apa yang lebih menyedihkan akaun yang sudah mengumpul lebih 100,000 pengikut dan menerima YouTube Silver Play Button itu menyimpan banyak kenangan bersama arwah ibunya sejak 10 tahun lalu.

“Akaun YouTube itu saya buka ketika platform tersebut belum popular sebagaimana sekarang. Semuanya idea daripada arwah ibu saya.

Iklan

“Selepas ibu meninggal, YouTube menjadi medium saya berkongsi tentang kehidupan baharu dan proses penyembuhan daripada kehilangan itu. Terlalu banyak kenangan di situ dan mempunyai nilai sentimental buat saya.

“Jadi apabila akaun itu tiba-tiba hilang begitu sahaja pada minggu lalu, saya sangat sedih dan terkilan. Pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan balik akaun itu dan saya harap membuahkan hasil,” katanya.