PENGARAH dan penerbit terkenal, Shahrulezad Mohameddin berkongsi khabar duka berkaitan dirinya yang dijangkiti virus Covid-19, pada Selasa.

Menurut Shahrulezad atau dikenali dengan panggilan Budak Ijat, semuanya bermula apabila salah seorang pekerjanya mengalami simptom demam sejak minggu lepas.

“Akhirnya abam terciduk jua… Ceritanya macam ini, minggu lepas, salah seorang pekerja saya demam.

“Saya suruh dia buat ujian saliva dan keputusannya adalah negatif. Disebabkan itu, kami ingat dia hanya demam biasa sahaja.

“Kami pula teruskan kerja seperti biasa, keluar masuk pejabat dan jumpa orang selesaikan kerja yang bergerak serentak.

“Tidak lama kemudian, pengurus produksi saya juga mengalami demam dan kebetulan, dia banyak habiskan masa dengan pekerja saya yang demam itu.

“Masa itu, saya dah mula rasa tak sedap hati dan minta mereka buat Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR). Keputusannya kedua-dua positif!” jelasnya menerusi Instagram miliknya.

Mula-mula negatif

Tambah pengarah yang terkenal menerusi naskhah Nur dan Takdir Yang Tertulis itu, tidak menunggu lama dia juga melakukan ujian calitan, namun keputusannya negatif.

“Saya aturkan supaya semua kru dan pelakon pergi buat ujian RPK dan alhamdulillah semua negatif.

Iklan

“Cuma nak dijadikan cerita saya yang negatif pada awalnya, tiba-tiba rasa tak sedap badan bermula semalam. Walaupun dah makan ubat demam, tetapi rasa sama juga.

“Bila buat ujian calitan, rupanya saya positif dan saya minta semua pekerja saya buat ujian calitan sekali lagi,” jelasnya.

Shahrulezad berkata, apa yang dipelajari daripada pengalaman ini, sekiranya mula berasa tidak sedap badan, sebaiknya terus membuat ujian calitan.

Iklan

“Kalau korang dah start tak sedap badan terus buat RPK atau PCR test terus!!! Jangan percaya sangat dengan saliva/antigen test tu.

“Gara-gara percayakan saliva test itu lah dah saya dan pekerja pertama itu tanpa sedar jadi pembawa virus Covid.

“Jadi hati-hati semua. Badan tak sedap terus ke klinik. Jangan bergantung ubat demam sahaja. Terus serah lubang hidung korang,” katanya yang bersyukur kerana belum berlepas ke Pulau Langkawi untuk menjalani penggambaran di sana.