SETELAH sekian lama sunyi sepi daripada sebarang persembahan akibat pandemik Covid-19, Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur kembali bergema dengan konsert Rockestra Nostalgia yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Penganjuran konsert pembuka tirai dalam peralihan fasa empat Pelan Pemulihan Negara di ibu kota itu sememangnya dinantikan ramai, apatah lagi ia diadakan secara percuma untuk penonton.

Konsert Rockestra Nostalgia yang berlangsung pada jam 9 malam itu berlangsung meriah dengan persembahan hebat enam otai yang terdiri daripada Asheed Def Gab C, Rahmad Mega, Rahim Maarof, Man Bai, Ruhil Amani dan Ito Blues Gang.

Masing-masing tampil dengan dendangan tiga buah lagu hits mereka yang pernah menjadi siulan ramai sebelum ini, sekali gus membawa penonton kembali menggamit nostalgia lalu.

Asheed Def Gab C, Man Bai dan Rahmad Mega menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popular mereka. – FOTO: DBKL

Antara yang menarik perhatian pada malam itu ialah persembahan Asheed dengan lagu Cinta Sakti, Rahmad Mega (Bayangan Gurauan), Rahim Maarof (Istana Menanti), Man Bai (Masih Aku Terasa), Ruhil Amani (Kawan) dan Ito Blues Gang (Khatulistiwa).

Iklan

Persembahan enam otai itu diiringi oleh 45 pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Konsert Rockestra Nostalgia yang menampilkan Nadia Hasnan dan Lando Zawawi itu berlangsung dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard yang ketat dengan kehadiran hampir 500 penonton yang menempah tiket lebih awal.

Iklan

Persembahan tersebut juga merupakan satu inisiatif DBKL dalam menghidupkan kembali aktiviti seni budaya yang bakal memberi manfaat kepada para penggiat seni.

Konsert Rockestra Nostalgia mendapat sambutan hangat daripada penonton – FOTO: DBKL