Aksi lasak serlah kelebihan, Ahirine terbuka terima kritikan

A
A
A

DI SEBALIK wajahnya yang ayu dan lembut pada tutur kata, pelakon muda sedang meningkat naik, Ahirine Ahirudin memiliki jiwa lasak yang cuba diterjemahkan menerusi minatnya dalam bidang seni lakon.

Jika sebelum ini aksi tersebut banyak dilakukan di belakang kamera, kini Ahirine, 26, berpeluang menampilkan kebolehan itu dalam filem terbaharu lakonannya, What! The Heist yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 19 Januari ini.

Filem berbahasa Mandarin hasil kerjasama produksi Malaysia dan Singapura itu menampilkan gadis tinggi lampai ini memegang watak sebagai Bangkok yang hebat dalam aksi pertarungan.

“Ini adalah kali pertama saya berlakon dalam filem aksi dan saya cuba gunakan peluang itu dengan sebaik mungkin.

“Walaupun adegan saya tidak banyak, tetapi aksi pertarungan yang ditampilkan menerusi watak Bangkok itu sangat mengujakan. Impian yang menjadi kenyataan.

“Sebelum ini saya sering terlibat sebagai pelakon lagak ngeri, di mana saya buat aksi untuk pelakon lain. Namun kali ini berbeza apabila saya beraksi untuk watak sendiri,” katanya turut aktif dalam sukan seni bela diri, Muay Thai sejak dua tahun lalu.

Ahirine (paling kiri) ketika malam Gala Filem What! The Heist yang berlangsung di GSC Mid Valley baru-baru ini. - FOTO GSC Movies

Berkongsi pengalamannya terbabit dalam naskhah What! The Heist, Ahirine yang ditemui pada majlis pratonton filem aksi komedi tersebut di GSC Mid Valley Isnin lalu mengakui teruja berpeluang menimba pengalaman baharu bersama produksi dua negara itu.

Bahasa Mandarin

Biarpun menjadi satu-satunya pelakon Melayu yang dalam filem tersebut, graduan Ijazah Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu mengakui tidak pernah rasa terasing, malah seronok dapat bekerjasama.

“Saya tidak nafikan, perbezaan bahasa menjadi antara cabaran utama saya dalam produksi ini di mana hampir sepanjang masa bahasa Mandarin digunakan.

“Bagaimanapun saya tidak jadikan ia sebagai kekangan, malah sentiasa bertanya jika ada apa-apa yang saya tidak faham. Saya tidak rasa malu kerana mereka semua sentiasa beri tunjuk ajar dan memberikan sokongan.

“Dalam masa sama, saya sebenarnya memang sedang belajar bahasa Mandarin juga. Jadi ia secara tidak langsung turut membantu saya mempelajari bahasa ini dengan lebih cepat,” katanya yang mahu lebih banyak lakonan aksi selepas ini.

Sedar masih bertatih dalam dunia lakonan, Ahirine sentiasa terbuka menerima kritikan. Menerima baik komen-komen yang dilontarkan terhadap lakonannya dalam filem Gadis Jolobu The Movie dan Remp-It 2 sebelum ini, bekas wartawan penyiaran itu tekad memperbaiki kelemahan diri.

“Saya tidak marah pun orang kata lakonan saya dalam filem sebelum ini agak ‘kayu’. Malah sebagai pelakon baharu, saya akui masih banyak kelemahan dalam lakonan.

“Dari semasa ke semasa, saya cuba perbaiki kelemahan itu termasuk mengambil kelas lakonan yang disediakan pihak pengurusan saya, WebTV Asia.

“Saya yakin pengalaman akan membantu saya untuk menjadi pelakon yang lebih baik selepas ini, insya-ALLAH,” katanya mengakhiri perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca