Aksi superhero comel curi perhatian dalam DC League Of Super-Pets

A
A
A

JIKA sebelum ini penonton sudah dihiburkan dengan aksi-aksi hebat barisan superhero dalam kalangan manusia, filem animasi terbaharu, DC League of Super-Pets memberi keseronokan berbeza.

Naskhah adaptasi daripada kumpulan superhero DC Comics Legion of Super-Pets ini menampilkan superhero yang terdiri daripada beberapa haiwan peliharaan yang sangat comel.

DC League Of Super-Pets yang diarahkan oleh Jared Stern mengisahkan tentang Krypto, anjing putih peliharaan Superman yang bijak, hebat dan mempunyai kuasa luar biasa seperti mana tuannya. Mereka sentiasa bergandingan untuk membanteras jenayah dan melawan penjahat di kota Metropolis.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Lulu, haiwan peliharaan penjahat bernama Lex Luthor menyerang Superman sehingga melumpuhkan kuasa istimewa yang ada padanya, selain turut memerangkap rakan superhero lain seperti Batman, Wonder Woman, Aquaman, The Flash, Cyborg dan Green Lantern.

Krypto yang juga mengalami nasib sama, terpaksa meminta bantuan daripada haiwan-haiwan comel yang baru sahaja mendapat kuasa luar biasa secara tidak sengaja selepas insiden yang dicetuskan Lulu.

Jika ada yang menganggap DC League Of Super-Pets hanya untuk penonton kanak-kanak, ia adalah satu pandangan silap kerana apa yang ditampilkan dalam filem terbitan Warner Animation Group dan DC Films ini mampu menghiburkan penonton daripada pelbagai peringkat umur.

Meski tampil dengan jalan cerita ringan dan konflik mudah difahami, penonton dewasa tidak akan bosan kerana dihiburkan dengan elemen komedi mencuit hati. Malah terdapat beberapa babak yang menarik perhatian penonton dewasa seperti parodi superhero yang diselitkan sebagai sindiran.

Aksi comel Krypto dan rakan-rakannya yang lain begitu mencuri tumpuan dari awal sehinggalah filem berakhir.

Ternyata gandingan serasi antara Dwayne Johnson yang mengisi suara untuk watak Krypto dan Kevin Hart sebagai Ace berjaya menggamatkan naskhah ini.

Lebih istimewa, salah seorang pelakon popular tanah air, Sean Lee turut tampil dalam animasi DC League Of Super-Pets ini menerusi watak Waffles, seekor anjing Boston Terrier yang tinggal di Metropolis.

Biarpun hanya peranan kecil, namun penonton tempatan pasti berbangga dengan Sean yang membawa identiti tersendiri menerusi percakapannya yang menggunakan bahasa Inggeris slang Malaysia.

Secara keseluruhannya DC League Of Super-Pets adalah sebuah animasi yang sangat menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton seisi keluarga.

DC League Of Super-Pets

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Animasi/komedi

Durasi: 1 jam 46 minit

Pengarah: Jared Stern

Pelakon Suara: Dwayne Johnson, Kevin Hart, Kate McKinnon, John Krasinski, Keanu Reeves, Sean Lee

Tarikh Tayangan: 28 Julai 2022

Edaran: Warner Bros. Pictures

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca