SEBENARNYA, kami sudah lama mahu mendapatkan Amira Othman menjadi penghias wajah SinarPlus. Namun, disebabkan kekangan masa, hasrat itu tergendala.

Namun baru-baru ini, Amira membawa pengkhabaran gembira kepada kami apabila bersetuju menghadiri sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Sebaik sampai di pejabat, beliau lantas berkata: “Alhamdulillah, agak mudah juga untuk sampai ke sini,“

Rupa-rupanya Amira baru pertama kali mengikuti sesi fotografi bersama akhbar ini. Sebelum ini, temu bual wartawan Hiburan Sinar Harian dilakukan di lokasi lain.

Memilih untuk menyarung busana dan mengoles mekap sendiri, pemilik nama penuh Nadia Amira Othman telah bersedia untuk dibidik lensa jurufoto kami, Mohd Nasarudin Talkah.

Seorang yang fotogenik dan ‘mesra’ dengan kamera, tugas Mohd Nasarudin menjadi mudah.

Lebih kurang setengah jam selepas itu, penulis dan Amira memulakan bicara.

Beritahu bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-10, beliau sedikit teruja menjalani ibadah Ramadan pada tahun ini

“Tidak seperti dulu yang agak ketat gara-gara amukan Covid-19, pada tahun ini, alhamdulillah saya dapat berpuasa di Kuala Lumpur dan bersyukur peraturan semasa sedikit longgar,“ katanya.

Pada masa sama juga, beliau berlapang dada ekoran tidak tertakluk dengan lambakan aktiviti seni pada bulan yang mulia ini.

“Ya, memang tiada sebarang kerjasama untuk program raya. Justeru, ini merupakan peluang terbaik saya untuk menumpukan perhatian melakukan ibadah seperti tarawih dan membaca al-Quran,“ ujarnya.

Tanah Suci Makkah

Bercerita tentang Ramadan, Amira memberitahu penulis, benak fikirannya tidak putus terbayangkan keindahan dan kesucian Tanah Suci Makkah.

“Ah, saya rindu sangat dengan suasana di sana, sukar untuk menghapuskan setiap detik pengalaman di Tanah Suci.

“Dulu, saya sendiri tidak memahami akan kerinduan itu, namun selepas berkesempatan ke sana, baru saya faham akan rasa itu. Tak terluah dengan kata-kata sebenarnya,“ katanya yang menunaikan haji bersama penyanyi yang juga sahabat selebritinya, Wany Hasrita dua tahun lalu.

Wany ketika itu telah menerima jemputan khas daripada kerajaan Arab Saudi.

Rezeki Amira datang bertandang selepas ibu Wany, Norita Jaafar tidak dapat turut serta disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan memang tidak sangka Wany akan mengajak saya menunaikan Rukun Islam kelima itu. Ibarat mimpi jadi kenyataan,“ katanya.

Dari hati yang terdalam, pelakon drama Abang Bomba I Love You itu memberitahu, jika dirinya ditakdirkan berpeluang menjejakkan kaki semula ke Makkah, Wany merupakan orang pertama yang akan dipelawanya.

“Ya, Wanylah orangnya. Bukan apa, Wany seorang yang sangat berdikari dan biasalah setibanya di sana, segala kerisauan mula timbul. Namun, Wany boleh meyakinkan saya dan selalu membuatkan saya rasa selamat ketika bersamanya,“ akui personaliti itu.

Penyanyi lagu Menahan Rindu itu juga kata Amira seorang yang pandai dan mudah menghafal jalan walaupun berada di negara asing.

Sama ada Wany atau dirinya, sembilan hari yang diperuntukkan kepada mereka berdua untuk beribadah di sana sememangnya tidak cukup. Namun, kata Amira momen kakinya yang berasa begitu sakit lantaran terlalu banyak berjalan adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Pun demikian, tutur beliau, hal tersebut disifatkannya sebagai ujian kecil sahaja daripada ALLAH SWT untuk dirinya menghayati kebesaran YANG MAHA ESA di Makkah,“ katanya yang menasihati anak muda di luar sana yang berkemampuan sebaiknya menunaikan ibadah haji atau umrah selagi masih bertenaga.

Pengajaran berguna

Ketika berbual dengannya, secara spontan penulis teringat mengenai ceritanya yang terlantar di hospital gara-gara senaman berlebihan pada tahun lalu.

Bukan mahu membangkitkan hal lama, namun artikel mengenai kejadian itu yang dipaparkan di media massa dan sosial tidak terperinci.

Mendengarkan soalan itu diajukan, Amira tersenyum manja dan menganggukkan kepalanya.

Seperti menyusun perbendaharaan kata, selebriti manis berhijab itu berkata, hal berkenaan merupakan satu insiden pahit yang kekal terpahat sepanjang hayatnya.

“Begini, saya memang bersenam demi menjaga kesihatan. Apabila mengalami sakit-sakit selepas bersenam, saya anggap ia adalah satu perkara normal.

Iklan

“Pun demikian, dari hari ke hari, rasa sakitnya berbeza dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan. Memasuki hari ketiga, paha saya mula membengkak,“ imbasnya.

Susulan itu, beliau membuat keputusan untuk menjalani terapi, namun sakitnya masih juga tidak berkurangan.

“Apabila terapi pun tidak menjadi, mahu dijadikan cerita, sewaktu saya membuang air kecil, saya terkejut air kencing bertukar menjadi warna hitam.

“Apabila saya bercerita dengan ibu dan bapa, mereka menasihatkan saya supaya membuat pemeriksaan di hospital memandangkan simptom itu merupakan petanda jelas dan berkaitan dengan buah pinggang dan hati,“ tuturnya.

Selepas pemeriksaan dilakukan, pakar mengesahkan, komplikasi yang berlaku adalah disebabkan aktiviti kecergasan yang berlebihan.

“Mujurlah buah pinggang saya masih dalam keadaan baik. Itulah pengajaran buat diri saya,“ katanya yang berjanji tidak akan mengulangi amalan tidak sihat itu lagi.

Justeru, Amira mahu individu di luar sana mengambil pengajaran di sebalik apa yang berlaku ke atasnya.

Beliau sendiri pada awalnya tidak menyangka, senaman secara keterlaluan boleh membawa kepada kemudaratan.

“Ingat ya semua, doktor yang merawat saya berpesan, bersenam tidak menjadi masalah, tetapi kita perlu tahu had kita dan bergantung kepada tubuh badan masing-masing,“ katanya.

Beliau mengambil masa dua bulan untuk sihat sepenuhnya.

Mengakui sedikit trauma, Amira menasihati dirinya agar lebih berhati-hati dalam pemilihan jenis senaman

Iklan

“Kini, aktiviti berenang dilihat sesuai dengan saya. Pada setiap minggu, sukan itu akan mengisi jadual saya. Lagipun aktiviti itu dapat membakar lebih banyak kalori,“ tambah Amira.

Beraya berdua

Momentum perbualan kami yang serius tadi bertukar ceria tatkala menyentuh mengenai perihal raya. Namun, emosi itu tidak bertahan lama ekoran larangan merentas negeri.

“Saya dan adik saya, Irfan Haris (yang juga seorang penyanyi) berada di Kuala Lumpur, sementara ahli keluarga yang lain di kampung halaman di Johor. Kami beraya berdualah nampaknya,“ katanya dengan nada pasrah.

Namun ujar Amira, mereka sekeluarga telah pun membuat persiapan baju raya sedondon warna krim sebagai tema lebaran tahun ini.

Beliau juga sudah mengasingkan duit raya khas untuk adik-adik tersayang, saudara-mara mahupun untuk kedua orang tuanya.

“Semua dah siap, tapi saya akur tak dapat balik raya kerana keselamatan dan kesihatan kita lebih utama daripada segala-galanya. Jika ada rezeki walaupun selepas raya, pasti saya tak akan lepaskan peluang itu untuk beraya walaupun bukan bulan Syawal lagi,“ katanya yang kini tampil dengan lagu bertajuk Surat Akhir.

Ya, bercerita tentang Surat Akhir, Amira berkata, sebenarnya ia kena dan berkaitan dengan situasi sekarang.

“Bait liriknya menyimpan banyak maksud tersirat. Mudah kata, ia umpama satu wasiat atau pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh seseorang kepada ahli keluarganya sebelum pergi menghadap ILLAHI.

“Mengambil pedoman daripada lagu berkenaan, saya mahu mengajak anak muda agar memanfaatkan masa bersama keluarga dan menghargai mereka. Walaupun Covid-19 membuatkan kita mustahil untuk menjenguk ahli keluarga di kampung, sekurang-kurangnya kita wajib bertanya khabar mereka dengan menghubungi atau lebih baik membuat panggilan video.

“Sama juga seperti kita beribadat, lakukan dengan bersungguh-sungguh seolah-olah itulah pengabdian terakhir kita sebagai seorang hamba kepada-NYA,“ tuturnya.

Foto: Instagram @amiraaothman dan @irfannharis.