Album eksklusif Konsert Exists Reunion

A
A
A

KEJAYAAN dan sambutan hangat peminat terhadap Konsert Exists Reunion yang berlangsung pada 28 September 2019 mendorong Shiraz Projects untuk menerbitkan album eksklusif kumpulan legenda itu.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya mengambil keputusan mengeluarkan CD album live terhad untuk 1,000 unit saja bermula 24 November lalu.

“Album ini bersifat tersendiri dan istimewa kerana ia merupakan album live pertama kumpulan Exists Reunion.

“Peminat kumpulan ini pasti ingat dengan momen dan persembahan mantap yang diberikan mereka sewaktu konsert di Stadium Malawati, Shah Alam itu,” ujarnya yang tidak menolak untuk menerbitkan album tambahan sekiranya mendapat permintaan.

Exists bersama Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim (empat dari kiri).

Kumpulan Exists yang ditubuhkan pada tahun 1991 dianggotai Mamat dan Ezad selaku penyanyi, bersama Ajai (keyboard), Along (gitar), Shah (gitar), Musa (bass) dan Ujang (dram).

Dalam pada itu, Along berkata, album tersebut mengandungi 22 lagu dengan durasi dua jam itu adalah album live pertama sepanjang karier Exists.

“Album ini sangat istimewa kerana pertama kali kami reunion dan juga pertama kali dirakam secara live. Proses semasa mastering dan mixing adalah satu detik berharga di mana saya dapat mendengar jeritan peminat dan persembahan daripada anggota Exists dengan cara yang terbaik.

“Maksudnya peminat itu sendiri memberikan sokongan jeritan kepada kami. Bunyi yang ditampilkan dalam album ini ialah bunyi konsert sebenar yang mencipta kenangan indah,” katanya.

Tidak terhenti setakat ini, Exists juga merancang untuk mengadakan Exists Tour yang akan bermula di Singapura dan berakhir di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Ada pelbagai lagi lokasi lain dan ia akan ditentukan oleh Shiraz Projects nanti. Konsert terakhir di Istana Budaya akan membabitkan orkestra penuh,” ujar Ajai.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca