PENYANYI Stacy berkongsi berita gembira kini sedang hamil anak kedua dan kandungan sudah berusia empat bulan.

Perkongsian itu dilakukan Stacy atau nama lengkapnya Ummu Syaikhah Stacy Anam, 31, ketika menjadi tetamu jemputan program MeleTOP pada malam Selasa.

Dalam program tersebut, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad itu menjawab soalan yang diajukan oleh hos, Elly Mazlein berkenaan dakwaan dirinya sedang hamil cahaya mata kedua.

“Ramai cakap Stacy mengandung. Betul ke?” tanya Elly.

Tanpa berselindung Stacy mengesahkan berita itu sambil ketawa besar dengan gelagat Elly bertanyakan soalan itu.

“Kalau dah tak boleh nak tutup, sudah ‘pecah lubang’ betullah (hamil). Alhamdulillah saya sedang hamil empat bulan,” kata Stacy.

Iklan

“Memang dah tak boleh hendak sembunyikan lagi. Perut dah besar,” katanya.

Stacy dan Akim mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Eshaal Afiq Hakim, 5. Pasangan ini juga mempunyai seorang anak angkat bernama Bella De Luna Valentina, 9.

Iklan

 

(FOTO: INSTAGRAM STACY)