KEADAAN vokalis kumpulan XPDC, Ali semakin baik dan sudah sedarkan diri setakat jam 3 petang, Sabtu.

Menurut kenyataan rasmi kumpulan XPDC menerusi akaun media sosial mereka, Ali atau nama penuhnya Mohd Ali Ismail sudah memberi tindak balas.

“Ali kini sudah boleh bernafas sendiri dan tidak mengalami sesak nafas seperti Jumaat.

“Selepas pemeriksaan pakar, doktor mengesahkan paru-paru Ali berada dalam keadaan baik dan tiada jangkitan kuman, begitu juga dengan otaknya yang tiada darah beku.

“Cuma jantung beliau masih dalam keadaan lemah dan pihak hospital akan membuat pemeriksaan dengan lebih lanjut.

Sementara itu, Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang sepatutnya berlangsung hari ini telah ditunda dan akan diadakan pada 25 Mac ini.

Bagaimanapun konsert tersebut akan diteruskan tanpa kehadiran Ali sebagai penyanyi utama XPDC.

Menurut penganjur, Sinio.com, tempat Ali akan digantikan oleh barisan selebriti sebagai ‘tribute’ serta pemberi semangat kepada Ali yang kini dirawat di Hospital Ampang selepas ditidurkan akibat mengalami kesukaran bernafas.

“Susulan perkembangan terbaru kesihatan Ali yang masih dalam pemantauan pihak hospital, kami mengambil keputusan untuk memberi ruang kepadanya untuk memastikan tahap kesihatan pulih sepenuhnya.

“Oleh yang demikian, Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang ditunda ke tarikh baharu iaitu 25 Mac ini akan diteruskan tanpa kehadiran Ali sebagai penyanyi utama XPDC.

“Tempat beliau akan digantikan oleh barisan sahabat-sahabat artis yang akan tampil menggantikannya sebagai ‘tribute’ dan pemberi semangat kepada Ali.

Iklan

“Mereka akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Ali serta XPDC di konsert itu nanti. Sinio.com akan mengumumkan nama-nama mereka di dalam masa yang terdekat,” ujar penganjur itu dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sinio.com memaklumkan sebahagian daripada jualan tiket konsert itu akan disumbangkan kepada Ali sebagai tanda sokongan.

“Pihak Sinio.com ingin mengajak sahabat-sahabat dan peminat-peminat XPDC untuk terus menyokong serta mendoakan agar Ali untuk segera pulih seperti sediakala.

Iklan

“Bagi peminat-peminat dan sahabat-sahabat yang ingin mendapatkan tiket Konsert Jualan Hitam 2022, anda boleh boleh berbuat demikian dengan melayari sinio.com. Tiket konsert hanya berharga RM18,” ujarnya.

Ali pada Jumaat minggu lalu dikejarkan ke Hospital Ampang selepas didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022.

Hasil pemeriksaan lanjut, doktor memaklumkan penyanyi berusia 54 tahun itu mengalami minor stroke.