PROGRAM hiburan popular, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) yang diadaptasikan daripada program popular Korea Selatan kembali untuk musim keempat.

ICSYVMY4 akan bersiaran pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 untuk 11 episod seterusnya selepas membuka tirai dengan edisi raya pada 16 Mei lalu.

Musim terbaharu ini mengekalkan Sean Lje dan Shuk Sahar sebagai hos program, selain Jihan Muse sebagai ahli penyiasat tetap. Menariknya, kali ini dua selebriti popular iaitu Alif Satar dan Fad Bocey turut menyertai Jihan sebagai ahli penyiasat baharu.

Sementara itu, barisan penyanyi yang bakal menyahut cabaran untuk mengenal pasti penyanyi sebenar ialah Hafiz Suip, Fauziah Latiff, Yonnyboii, Aina Abdul, Ruffedge, Amy Search, Amir Masdi dan ramai lagi.

Pada setiap episod, seorang artis jemputan dan dua penyiasat jemputan akan diundang untuk memeriahkan suasana di studio ICSYVMY. Tugas para penyiasat adalah untuk membantu artis jemputan mendedahkan penyanyi misteri yang mereka rasa penyamar bersuara sumbang.

Iklan

Seramai enam penyanyi misteri akan diperkenalkan setiap episod di mana artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang telah dikenal pasti sebagai penyamar bersuara sumbang di setiap pusingan.

Jika penyanyi misteri yang berjaya mara ke pusingan akhir itu ialah penyanyi sebenar, beliau berpeluang untuk merakam sebuah lagu single dengan artis popular tanah air, manakala penyamar suara sumbang pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3000.

Iklan

Sesi rakaman ICSYVMY4 dijalankan pada April lalu dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat, selain sesi uji bakat yang dilakukan sepenuhnya secara atas talian pada Disember 2020.