PENANTIAN penyanyi, Alina Hassan untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya dipermudahkan.

Menurut Alina, 52, dia akan berpindah masuk ke kediaman baharunya esok dan tidak perlu lagi menghuni bilik yang sebelum ini menjadi tempatnya berteduh.

“Alhamdulillah setelah membuat beberapa permohonan sejak 2012, saya dimaklumkan permohonan saya telah diluluskan pada 2017.

“Bagaimanapun saya mendapat tahu bukan terus mendapat kunci dan setelah dua kali membuat rayuan, akhirnya pihak DBKL menghubungi saya dan memberitahu saya sudah mendapat kunci.

“Memang saya gembira sangat sebab dah lama nak duduk rumah sendiri dan dapat menjaga anak kedua, Mohd Alif yang menghidap autisme dan kini tinggal bersama bekas suami.

“Bekas suami juga setuju saya akan menjaga anak selepas ini dan dia juga banyak membantu saya selama ini.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan artis lain seperti Safura dan Amir Ukays yang banyak membantu proses untuk mendapatkan rumah DBKL ini,” katanya kepada SinarPlus.

Alina memiliki empat cahaya mata, namun anak pertamanya meninggal dunia. Anak kedua, Muhammad Alif, 20, menghidap autisme, anak ketiga, Muhammad Amin, 18, meneruskan pengajian di Matrikulasi Gambang, Pahang. Manakala anak bongsu, Muhammad Azam, 15, menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Terengganu.

Alina berasa begitu teruja dan gembira kerana tidak perlu lagi berulang-alik ke Kuala Terengganu berjumpa anak-anak dan boleh tinggal bersama anak keduanya yang juga OKU.

Terdahulu, berita Alina menyewa sebuah bilik di rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu menjadi perhatian ramai.

Bukan itu sahaja, juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 itu juga meluahkan rasa terharu apabila penyanyi Siti Sarah sudi menaja pembedahan mata kanannya akibat masalah selaput mata atau katarak.

“Saya sudah hadapi masalah katarak ini agak lama. Ketika ada sedikit wang lebih, saya sudah buat rawatan membuang katarak pada mata kiri.

Iklan

“Bagaimanapun masalah katarak pada mata kanan pula menjadi semakin teruk sehingga saya menghadapi masalah untuk melihat.

“Bila syarikat pengurusan Sarah telefon dan beritahu Sarah mahu menaja untuk membuang katarak pada mata kanan ini, saya memang rasa tak percaya.

“Lebih-lebih lagi rawatan itu dijalankan di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre,” ujarnya.

Iklan

Ditanya perancangan seterusnya selepas menjalani pembedahan membuang katarak Selasa ini, Alina berkata, dia mahu mengajar anak-anak jiran mengaji dan mahu mengkhatam al-Quran lagi.

Bukan itu sahaja, dia juga mahu berniaga secara kecil-kecilan selain kembali aktif menyanyi.

“Saya ada perancangan untuk berniaga sambal dan ada kawan yang mahu membantu. Selain itu, saya tetap akan busking pada sebelah malam untuk menambah pendapatan,” jelasnya.