RANCAK membina kerjaya dalam bidang lakonan tidak pernah membuatkan Alvin Chong melupakan arena muzik yang turut mencari cabang seni kegemarannya.

Apatah lagi peminat sering menyokong dan mendambakan karya baharu daripadanya yang begitu popular dengan lagu-lagu berbahasa Melayu.

Memenuhi permintaan itu, Alvin, 31, tampil dengan single berjudul One And Only yang diilhamkan daripada kisah peribadi dilaluinya sendiri ketika pandemik Covid-19 lalu.

“Lagu ini sangat bermakna kerana ia menggambarkan perasaan yang saya rasai sejak beberapa tahun yang lalu atau lebih tepat sewaktu pandemik Covid-19.

“Ketika itu saya banyak menghabiskan waktu di dalam kereta bersendirian kerana apabila keluar daripada kereta, saya rasa seperti ada beban, tekanan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang artis, anak, abang mahupun kawan.

“Saya rasa kereta adalah satu-satunya tempat yang boleh dianggap seperti zon selamat dan selesa buat saya ketika itu,” jelasnya.

Lagu One And Only terbitan Universal Music Malaysia itu merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh komposer muda MFMF.

Mengakui selesa bekerja dengan komposer terbabit, anak kelahiran Pulau Pinang itu berpuas hati dapat tampil dengan sebuah karya yang mengambil kira pandangan dan kehendaknya.

“Saya pernah bekerja dengan penerbit serta komposer yang lebih senior dalam industri. Mereka ini biasanya kurang mahu mendengar pendapat artis baharu kerana rasa mereka lebih tahu apa yang sesuai untuk kami.

“MFMF berbeza kerana mereka lebih terbuka dengan cadangan dan idea saya. Misalnya lagu ini sebenarnya bernuansa sedih dan sendu, jadi saya tidak mahu ia menjadi balada suram lalu meminta jadikan lagu ini sedikit rancak dan mereka setuju,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu Sayangku Salmah.

Terus yakin

Bercerita tentang proses rakaman lagu tersebut, Alvin berkata, sebelum rakaman bermula dia diminta memasukkan vokal terlebih dahulu sebagai demo untuk diserahkan kepada pihak syarikat rakaman bagi mendapat kelulusan.

Iklan

“Apa yang mengejutkan MFMF memberitahu saya tidak perlu merakam semula kerana vokal yang sudah dimasukkan sewaktu nyanyian demo itu dikatakan sudah cukup bagus.

“Menurut mereka, ramai penyanyi kedengaran lebih tenang dan semula jadi sewaktu merakam demo berbanding sewaktu rakaman sebenar kerana mereka tiada tekanan,” jelasnya yang turut menampilkan sebuah muzik video istimewa untuk lagu itu.

Berkongsi harapannya untuk single baharu itu, Alvin mengharapkan agar ia dapat diterima ramai.

“Saya harap sesiapa yang mendengar lagu ini terus percaya bahawa sentiasa ada harapan dalam kehidupan ini. Janganlah putus asa kerana proses kedewasaan memang tidak mudah.

Iklan

“Semuanya mampu diselesaikan kerana Tuhan tidak akan membebani seseorang dengan sesuatu yang tidak dapat diatasi. Terus yakin dan percaya sambil memberikan yang terbaik dalam hidup kita,” katanya menutup bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.