CANTIK dan berbakat. Itu dua perkataan yang lahir dari hati penulis terhadap anak bongsu Allahyarham Azmil Mustapha, Alya Iman.

Baru berusia 21 tahun, namun si tinggi lampai yang terlebih dahulu menceburi dunia peragaan ketika berumur 13 tahun itu kelihatan matang tatkala membutirkan kata-kata.

Meskipun masih setahun jagung dalam industri seni, namun perhatian dan tempias populariti arwah bapanya membuatkan empunya diri pantas dikenali.

Apabila ‘menjebakkan‘ diri dalam dunia seni, Alya atau nama penuhnya, Nur Alya Iman Azmil mengakui tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sehingga menghumbannya ke kancah kontroversi.

Masakan tidak, kisah beliau yang digelar ‘perampas suami orang‘ masih berlegar dalam kalangan netizen. Sehingga ke saat ini, selebriti muda berkenaan masih merasai dirinya dibenci ramai.

Melihat aura negatif itu masih tersisa, tutur Alya, dirinya tiada hak atau kuasa untuk menghentikan apa yang netizen perkatakan.

“Ya, sampai ke hari ini orang masih cakap buruk tentang diri saya. Masih ada yang panggil saya dengan macam-macam gelaran. Sebagai selebriti, saya kena serap apa saja netizen nak cakap dan terima semuanya dengan hati terbuka.

“Benda dah jadi dan bagi saya, setiap apa yang terjadi ada hikmahnya. Apa saja orang nak cakap mengenai saya tentang itu dan ini, sekali lagi saya katakan saya terima,“ ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Filem 7 Minggu Sebelum Kahwin terbitan KRU Studios Sdn Bhd dan Bloombordia Sdn Bhd yang akan disiarkan di Astro First bermula 7 Julai ini.

Selain Alya yang memegang watak sebagai Natasya, filem tersebut turut mempertaruhkan gandingan Nora Danish dan MK K-Clique selaku teraju utama.

Biarkan tragedi pahit itu berlalu, ungkap Alya, beliau kini sedang menikmati momen sebagai seorang wanita single, sementelah hubungannya dengan seorang duda anak dua yang dikenali sebagai Ridhwan Rosli sudah berakhir beberapa bulan lalu. Lebih tepat lagi, pada bulan Ramadan.

“Buat masa sekarang, benar, saya single dan saya dah tiada kena mengena dengan Ridhwan lagi tetapi kami masih kekal bersahabat baik.

“Namun, saya tak available. Bukan sebab saya sudah ada kekasih baharu tetapi saya seboleh-bolehnya mahu fokus kepada karier seni dan tak ada pun rasa nak ada hubungan cinta,“ katanya.

Sebelum kehadiran Ridhwan, sekitar tahun 2020, Alya telah pun menghangatkan persada dunia hiburan apabila dikatakan telah bertunang dengan seorang ahli perniagaan yang berstatus suami orang.

Bagaimanapun, beliau memutuskan perhubungan tersebut pada pertengahan jalan kerana menerima tentangan daripada bakal madunya. Kemudian, barulah Alya dikaitkan dengan Ridhwan.

Iklan

Azam baharu

ALYA IMAN
Cantik dan berbakat. Selain menjadi pelakon, Alya terlebih dahulu menceburkan diri dalam dunia peragaan.

Berhubung penglibatannya sebagai pelakon, Alya berkata, sebenarnya bapa tercinta sedari awal berpesan supaya beliau menyelesaikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu sebelum bergelar anak seni.

Namun, tawaran hadir sebelum itu dan seperti satu suratan takdir, Allahyarham Azmil pulang ke rahmatullah.

Jika diikutkan, ‘amanah‘ yang diberikan bapa tersayang tidak dilunaskan Alya.
Mengulas mengenainya, gadis itu berkata, kadangkala terbit rasa sesal dalam diri yang bikin emosinya terganggu.

“Arwah ayah memang kalau boleh mahu saya selesaikan SPM sebelum menceburi bidang seni. Sebagai bapa, tentulah dia risaukan masa depan saya. Bila dah macam-macam terjadi, saya anggap semua itu sebagai satu pengajaran berguna.

“Cuma ada masanya, saya rasa sebak bila arwah ayah tidak melihat kejayaan saya sekarang,“ ujarnya.

Iklan

Kepada SinarPlus, Alya berkata, seandainya berada dalam tekanan, beliau sering bermonolog sendirian, seolah-olah sedang bercakap dengan arwah ayah.

“Saya akan ‘mengadu‘ macam-macam dengan dia. Ada ketikanya, untuk mendapatkan mood sedih pun (dalam lakonan), saya membuat perkara yang sama juga,“ ujarnya yang tidak kisah dengan pandangan orang ramai tentang pendekatan beliau itu.

Sebelum mengakhiri perbualan kami, dengan nada bersemangat, Alya memberitahu penulis, dirinya mahu sentiasa kekal positif dan fokus terhadap karier seni yang sedang dibina.

“Pada masa akan datang, saya berharap dapat membintangi banyak lagi drama dan filem. Saya mahu buktikan bahawa saya berdiri dengan bakat sendiri dan bukan bersandarkan kontroversi dan nama arwah ayah semata-mata,“ ujarnya.