PELBAGAI usaha dilaksanakan kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 termasuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Jun lalu.

Cakna akan peri pentingnya mewujudkan imuniti kelompok sebagai usaha memerangi wabak Covid-19, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab penuh membantu usaha pihak berwajib dengan melancarkan Kempen Jom Vaksin menerusi platform-platform siarannya.

Kempen Jom Vaksin telah dilaksanakan bermula 26 Mei 2021 yang lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Jun 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kempen Jom Vaksin adalah kempen kesedaran yang bertujuan menjernihkan salah tanggap masyarakat serta menyeru mereka terutamanya warga emas untuk hadir ke temujanji suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Namanzee, TV AlHijrah percaya bahawa suntikan vaksin Covid-19 ini adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan Maqasid Syariah serta selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan ditetapkan kerajaan.

Iklan

Selain itu, TV AlHijrah juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyiarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), rerayap, dan video pendek tentang program vaksinasi ini.

Iklan

Kempen itu juga mendapat sokongan beberapa pendakwah tempatan yang berbesar hati memberikan kata-kata sokongan dan suntikan semangat agar masyarakat hadir pada sesi vaksinasi bagi mewujudkan imuniti kelompok menjelang penghujung tahun 2021.