STESEN televisyen Islamik, AlHijrah mengambil pengajaran ekoran isu ‘Kak Long 7E’ yang sebelum ini dijemput sebagai tetamu dalam program Trending.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris, TV AlHijrah pada mulanya menjemput individu tersebut selepas dia telah menzahirkan permohonan maaf secara terbuka.

“Jujur apabila kita terbitkan program Trending, ia berbeza dengan program tular stesen TV lain.

“Program Trending di TV AlHijrah, kita angkat isu-isu tular dan ketengahkan bagaimana seorang muslim sepatutnya memberi reaksi terhadap isu yang berlaku.

“Kita tidak pernah memilih bulu dan pada ketika program itu dirakamkan, individu tersebut telah menzahirkan permohonan maaf secara umum.

“Jadi kami menganggap dia telah berlaku jujur memohon maaf dan tidak ada ruang untuk memikirkan masa depan apa yang akan berlaku,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Rabu.

NAMANZEE
Namanzee

Tambah Namanzee, kehadiran Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki pada program itu juga adalah untuk memberi tazkirah kepada individu terbabit tentang apa yang salah dan tidak serta apa yang sepatutnya dilakukan.

“Saya rasa ada berlaku salah faham bila hos jemputan promosikan episod ketika itu, di mana selesai rakaman dia ambil gambar bersama, seolah-olah menggambarkan kita mengangkat individu itu.

“Walhal ustazah itu memberi pengajaran dan mesej yang pada hemat saya disampaikan dengan sangat baik.

“Bahkan sebelum ini tetamu-tetamu yang hadir dalam program viral juga telah memberi manfaat kepada orang lain. Cuma mereka tidak viral.

“Kita mengambil pengajaran dan berlapang dada dengan apa yang sudah berlaku serta lebih berhati-hati di masa hadapan” ujarnya.

Namanzee berkata, setakat ini pihaknya belum merancang untuk menayangkan rakaman itu kepada umum, selagi individu terbabit tidak menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang berlaku terhadapnya kini.

Iklan

“Program Trending tidak ditangguhkan, hanya episod itu yang kita simpan dahulu.

“Lagipun individu itu ada beberapa isu yang terkait dengannya. Jadi selagi masih panas dan ada isu, kita tidak akan tayang.

“AlHijrah juga ambil maklum dengan resposn dari orang ramai yang sayangkan jenama TV AlHijrah,” katanya.

Beri Peluang

Berlapang dada dengan apa yang berlaku, Namanzee juga menyarankan rakyat Malaysia untuk memberi peluang kepada TV AlHijrah.

Iklan

“Saya sarankan beri peluang, lihat aplikasi kami, program yang ditayangkan sepanjang Ramadan dan tonton sendiri program Trending.

“Saya tahu apa yang diminta ini berat, tetapi saya harap semua dapat bersikap adil dan tidak menilai kami hanya kerana satu perkara.

“TV AlHijrah tidak eksklusif kepada agamawan. Artis, pempengaruh media sosial juga boleh masuk ke stesen kami.

“Kami melihat dunia ini bukan berkisar kepada memberi dakwah tetapi melalui proses dakwah juga,” katanya menutup perbualan.