Amen Khalid sedia sambung legasi arwah bapa

AMEN KHALID
AMEN KHALID
A
A
A

PENGARAH muda Amen Khalid, mengakui kini memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi peninggalan bapanya, Allahyarham Mamat Khalid dalam bidang seni.

Berbekalkan pengalaman yang diperoleh ketika membantu kerja-kerja seni bapanya sebelum ini, Amen atau nama lengkapnya Mohd Khalid Amen Mohamad, 26, memberanikan diri untuk menyahut cabaran.

Apatah lagi anak keempat daripada lima beradik itu mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada penggiat industri terutama rakan-rakan seni Allahyarham bapanya yang selama ini turut mengikuti hasil kerjanya bersama Mamat Khalid.

Tidak hairanlah selepas pemergian pengarah tersohor itu pada 24 Oktober tahun lalu, Amen diletakkan harapan untuk menyambung kerja-kerja seni yang ditinggalkan oleh Mamat, termasuklah menyempurnakan karya terakhirnya, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

“Saya terharu dan sebak apabila ramai penggiat dalam industri, terutamanya rakan-rakan bapa yang memberikan sokongan pada saya untuk teruskan legasi yang ditinggalkan.

“Begitu juga dengan semangat daripada ibu yang sentiasa percaya dengan saya. Kalau bukan disebabkan ibu, saya mungkin tidak akan teruskan kerana tanggungjawab ini cukup besar,” ujar Amen yang sebelum ini banyak terlibat dengan kerja-kerja penyuntingan dalam sebahagian besar karya bapanya.

Mengulas tentang filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang merupakan naskhah pertama arahannya, Amen berkata, banyak cabaran yang harus dilalui dan ia bukan sesuatu yang mudah buatnya.

“Biasanya saya hanya bantu bapa dan buat kerja bersama dengan arwah. Namun kali ini apabila perlu berada di depan dan menjadi penggerak utama, ia tidak mudah.

“Ketika menjalani penggambaran filem ini, saya selalu terdengar suara arwah di belakang saya. Memang terasa sangat sehingga saya menitiskan air mata, tetapi dalam masa sama membangkit semangat untuk hasilkan yang terbaik.

“Naskhah ini adalah tanggungjawab besar buat saya kerana ia adalah karya terakhir arwah. Saya usaha buat sebaik mungkin untuk semua penonton dan peminat karya-karya beliau,” katanya.

Perbandingan

Ramai yang memuji hasil kerja pertamanya menerusi filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang kini sedang hangat ditayangkan di Astro First sejak 3 Mac lalu.

Malah tidak kurang juga yang membandingkan hasil kerjanya dengan arwah bapanya sebelum ini.

“Saya tidak kisah jika ada yang membandingkan saya dengan arwah kerana dia adalah bapa saya. Apa-apa pun saya berterima kasih dengan maklum balas yang diberikan kerana mahu belajar dan tahu apa yang dimahukan penonton.

“Sebenarnya untuk filem saya hanya ikut apa yang telah digarap oleh arwah kerana tidak mahu lari daripada konsep Kampong Pisang yang telah sinonim dengan caranya. Ada perubahan tetapi hanya sedikit.

“Insya-ALLAH selepas ini saya akan terus hasilkan karya. Mungkin saya akan cuba genre yang saya minati, tetapi dalam masa sama saya akan teruskan juga cerita-cerita gaya arwah,” katanya.

(FOTO: ASTRO SHAW)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca