PENYANYI yang juga bekas peserta Big Stage musim ketiga, Amir Hasan menyifatkan Aidilfitri tahun ini tidak lagi sempurna seperti tahun-tahun sebelumnya.

Menurut Amir, selain kehilangan bapa tercinta, Abu Hasan Abdul Aziz, 66, akibat kanser limfoma tahun lalu, dia juga tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama bonda tercinta yang kini berada di Raub, Pahang.

“Saya merupakan anak tunggal, jadi ibu memang berharap saya dapat pulang ke kampung menyambut Aidilfitri. Apatah lagi kali terakhir kami bertemu, kira-kira penghujung Disember lalu.

“Bagaimanapun disebabkan kawalan pergerakan dan tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri, jadi saya dan ibu tidak dapat menyambut hari raya bersama.

“Mujur ada makcik dan sepupu sepapat yang tinggal berhampiran dengan ibu, jadi saya tidaklah bimbang sangat.

“Cuma saya sangat berharap dapat pulang ke kampung secepat mungkin bertemu ibu,” katanya kepada SinarPlus.

Amir mengakui Lebaran kali ini cukup sayu apabila dia tidak dapat meraikan bersama bonda dan ayahanda tercinta.

Tambah Amir, dia amat merindui suasana berhari raya ketika kecil, di mana dia bersama sepupu bebas ke mana sahaja untuk menyambut Aidilfitri.

“Suasana malam dan pagi raya tentu sahaja yang paling meriah. Walaupun sekarang ada sahaja anak kecil yang pergi rumah ke rumah untuk beraya, tetapi vibe itu tidak sama dengan kita ketika kecil.

“Lebih-lebih lagi bila berada di kampung, memang meriah,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Amir turut meluahkan rasa kesal apabila melihat beberapa selebriti dan instafamous yang mudah mendapat kebenaran untuk merentas negeri tanpa tujuan kukuh.

Bahkan Amir juga berharap individu-individu yang dikenali itu tidak menyalah gunakan populariti mereka untuk memberi contoh tidak baik kepada masyarakat.

Iklan

“Saya tak nak komen tentang apa yang mereka lakukan, tetapi hati kecil saya geram juga sebab saya sendiri pun dah berbulan tak jumpa ibu.

“Cuma saya harap mereka yang dikenali ini dapat memberi contoh yang baik pada masyarakat dan bukannya membuatkan masyarakat memandang serong terhadap golongan selebriti,” katanya yang kini sibuk menyiapkan beberapa lagu.

FOTO : ASRIL ASWANDI SHUKOR