SEJAK kebelakangan ini seolah-oleh menjadi satu trend penyanyi masa kini merakamkan semula lagu-lagu yang pernah popular pada era 1990-an dengan nafas baharu.

Kebanyakan lagu-lagu rakaman semula mendapat sambutan yang cukup baik daripada pendengar, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada karya lama kembali popular.

Terbaru, penyanyi sedang meningkat naik, Amir Masdi mengambil pendekatan sama dengan memilih lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah, nyanyian asal Ella, untuk rakaman baharu mengikut versi nyanyiannya.

Menurut Amir atau nama lengkapnya, Amir Syazwan Masdi, 26, karya ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik oleh Lukhman S yang diterbitkan pada tahun 1990 itu adalah lagu yang paling diminati dan kerap kali dinyanyikan dalam pertandingan yang disertainya.

“Daripada lagu-lagu Ella sedia ada, ini adalah lagu kegemaran saya. Malah saya pernah menyanyikan lagu ini sewaktu menyertai pelbagai pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia Megastar dan Immortal Song.

“Ketika program Immortal Song itu, cover lagu ini menjadi antara yang paling banyak mendapat tontonan di saluran YouTube saya dan ramai yang minta buat rakaman semula.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, saya putuskan untuk merakamkan lagu ini dengan sebuah rakaman audio yang sedap dan visual video muzik menarik sebagai hadiah kepada peminat,” katanya.

Hormat karya asal

Sepi Sekuntum Mawar Merah versi baharu tampil dengan susunan muzik lebih segar hasil sentuhan Amir sendiri bersama Rudy Nastia dan Farez Asmadi.

Sebagai tanda menghormati penyanyi asalnya, bintang yang dikenali dengan lagu Ku Sakiti itu terlebih dahulu meminta restu daripada Ella sebelum perancangan tersebut menjadi kenyataan.

“Saya ada mesej Ella dan minta dia merestui saya merakamkan semula lagu ini. Alhamdulillah dia terima dengan baik dan beritahu kalau ada rezeki nanti kami boleh menyanyi bersama-sama.

“Saya juga sebelum ini pernah membuat persembahan di depan komposer lagu ini, Fauzi Marzuki dan dia pun memberikan komen positif.

Iklan

“Jadi apabila komposer dan juga penyanyi asal memberikan maklum balas baik, ia membuatkan saya lebih berani untuk merakamkan semula lagu ini,” ujarnya.

Penuhi permintaan peminat, Amir pilih Sepi Sekuntum Mawar Merah untuk lagu rakaman semula.

Bagaimanapun finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 ini berkata, rakaman semula lagu-lagu tersebut perlu dibuat dengan proses yang teliti untuk menghormati karya asal.

“Apabila cover lagu lama, kena lebih berhati-hati dan tak boleh main ‘langgar’ sahaja. Setiap perincian sangat penting. Kita perlu hormat lagu, komposer dan juga penyanyi asal,” jelasnya.

Iklan

Single Sepi Sekuntum Mawar Merah versi Amir Masdi, terbitan Nova Music itu dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 30 Julai lalu, manakala muzik video (MV) pula di saluran YouTube Nova Music Videos.

MV arahan Azuad Abdullah yang turut menampilkan warga Sekolah Seni Malaysia Johor itu sudah pun menjadi Top 30 trending di YouTube dengan lebih daripada 130,000 tontonan sejak ia dimuat naik.

(FOTO: NOVA MUSIC)