HASRAT kumpulan U.K’s untuk tampil dengan sebuah persembahan istimewa bagi mengubat rindu peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Kumpulan yang dianggotai oleh Amir selaku vokalis, Amirul (dram), Daniel (gitar) dan Olley (bass) itu meluahkan rasa lega apabila dapat memenuhi janji menerusi Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 17-18 Jun depan.

Amir yang ditemui ketika pelancaran Program Istana Budaya 2022 pada Selasa berkata, persembahan yang telah dirancang lebih tiga tahun lalu itu bakal menggamit semula kenangan zaman kegemilangan mereka pada era 1990an.

“Sebenarnya kami mula merancang untuk mengadakan sebuah konsert istimewa sekitar tahun 2019 iaitu selepas Konsert Minggu Ini Bersama U.K’s di RTM mendapat sambutan luar biasa.

“Kami mahu menghargai sokongan dan kesetiaan peminat dengan menghadiahkan mereka dengan sebuah konsert yang lebih besar.

“Bagaimanapun siapa sangka selepas itu, pendemik Covid-19 melanda dunia dan segala perancangan itu terhenti sehinggalah keadaan kembali reda dan U.K’s bergabung dengan beberapa pihak untuk meneruskan konsert ini,” ujarnya yang kini masih mencari penaja untuk tampil bekerjasama dalam konsert tersebut.

Pulih Covid-19

Bagi memastikan konsert berjalan lancar sebagaimana dirancang, Amir, 53, mengakui sudah mula melakukan persiapan termasuk pemilihan lagu yang akan dipersembahkan pada konsert tersebut.

Jelasnya, bukan mudah untuk mereka memilih 26 buah lagu terbaik untuk dipersembahkan pada malam itu nanti kerana U.K’s mempunyai banyak lagu popular dan peminat pula mempunyai cita rasa berbeza.

Menariknya konsert itu akan turut melibatkan barisan pemuzik handalan yang pernah bekerjasama dengan U.K’s dalam rakaman album-album mereka sebelum ini.

Iklan

“Selepas pemilihan lagu selesai, saya kini lebih fokus pada persiapan diri sendiri. Pada usia 53 tahun ini, sudah pasti vokal dan tenaga saya sudah tidak seperti dulu.

“Jadi saya kini banyak membuat latihan kecergasan untuk kekalkan stamina bila beraksi nanti. Dalam usia sebegini susah sikitlah nak jogging hari-hari, tetapi saya ada cara sendiri untuk buat latihan fizikal di rumah.

“Untuk vokal pula, saya tidak begitu risau kerana kerap menerima undangan persembahan dan ia secara tidak langsung menjadi latihan. Bagaimanapun, menjelang konsert nanti, saya berhasrat masuk kelas vokal untuk tambah ilmu dan teknik baharu dalam nyanyian agar dapat tampilkan persembahan mantap,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Amir yang baru sahaja pulih daripada jangkitan Covid-19 pada bulan lalu, menaruh harapan tinggi agar konsert tersebut mencapai matlamat mereka untuk meraikan peminat.

“Ramai peminat dari Indonesia dan Singapura mahu hadir ke konsert ini sekiranya sempadan negara sudah dibuka ketika itu.

“Saya tidak sangka mereka masih lagi menyokong U.K’s sehingga ke hari ini dan itu membuatkan kami tambah bersemangat untuk beri yang terbaik,” katanya.