PENYANYI era 1990an, Datin Seri Ilyka meluahkan rasa syukur apabila anak tunggalnya, Arisya Ahmad Azizi meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut Ilyka yang popular Diusung Duka itu, pandemik Covid-19 memberi cabaran tersendiri buat calon-calon SPM yang berdepan dengan pelbagai kekangan, termasuk cara pembelajaran berbeza.

“Tahun lalu cukup mencabar buat semua termasuk calon SPM dan ibu bapa. Anak-anak perlu meneruskan pengajian dalam talian dan mempraktikkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Sementara itu, Arisya yang merupakan penuntut aliran Sains Tulen di sebuah kolej di Negeri Sembilan, mengakui tidak menjangka memperoleh keputusan sedemikian.

“Saya tak jangka dapat straight A kerana keputusan saya sebelum ini biasa-biasa sahaja.

“Saya juga gementar pandemik menyebabkan banyak kesukaran dalam proses menghadapi SPM 2020.

Iklan

“Apapun, alhamdulillah dengan tunjuk ajar guru dan rakan-rakan saya dapat juga keputusan yang cemerlang terutamanya dalam mata pelajaran yang saya gemari iaitu fizik,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Arisya yang berhasrat untuk menyambung pelajaran di luar negara dalam bidang farmasi atau kejuruteraan itu mendedikasikan kejayaan tersebut buat ibunya.

“Saya tidak mengharap apa-apa hadiah atas kejayaan ini, sebaliknya menganggap mama lebih layak untuk menerima hadiah straight A daripada saya,” katanya.