Anak pernah cadangkan ‘buat hal’, Liza Hanim mahu cari keberkatan

A
A
A

UMUM mengenali figura ini sebagai penyanyi dan pelakon berbakat besar yang sudah berkecimpung dalam industri seni sejak 24 tahun lalu.

Di sisi lainnya, Haliza Hanim Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Liza Hanim sudah mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan menerusi LH Media Sdn Bhd yang bertindak merancang majlis keraian atau korporat.

Bukan itu sahaja, skop bisnesnya diperluaskan lagi dengan mengeluarkan produk seperti tudung dan wangian.

Namun tidak seperti selebriti atau usahawan wanita lain yang pantas menaikkan nama perniagaan dengan gimik dan kontroversi, Liza Hanim mempunyai pandangan dan prinsip tersendiri.

Tegas selebriti berusia 42 tahun itu, beliau memilih untuk menceburi cabang perniagaan sebagai jalan menolong masyarakat yang susah di luar sana.

“Saya masih ingat lagi, anak sulung saya, Marsya Qistina pernah cadangkan supaya saya ‘buat hal‘ agar nama dan produk saya cepat naik.

“Sedangkan menyanyi pun saya tidak pernah ‘buat hal’, inikan pula perniagaan. Bagi saya, sekali saya buat sesuatu yang memalukan, lima keturunan saya boleh ketahuinya dalam internet.

“Tidak dinafikan kontroversi boleh menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran, tetapi niat saya menceburi bidang perniagaan adalah kerana mahu membantu orang lain.

“Saya mahukan keberkatan, saya bawa ejen bersama saya, jadi biarlah apa yang saya buat itu dirahmati. Tidak mengapalah kalau nama atau produk saya lambat dikenali, tetapi saya peroleh rezeki yang bersih,“ katanya meluahkan getaran dalam jiwanya ketika ditemui seusai majlis pelancaran minyak wangi, Holiday dan sambutan ulang tahun pertama bisnes yang diusahakannya itu di Podium Bateriku.com, Bukit Jelutong, Selangor baru-baru ini.

Tambah ibu kepada lima orang cahaya mata itu, setiap wanita mempunyai kedudukan dan sudah diletakkan di tempat yang tinggi oleh ALLAH SWT.

“Kita wanita ada maruah. Jadi mengapa perlu kita merendahkan martabat diri hanya kerana mahu menaikkan nama produk jualan kita?

“Saya rasa kita perlu percaya dengan rezeki yang telah ALLAH tetapkan. Saya rela bersusah payah dalam berniaga daripada ‘buat hal’ yang akhirnya boleh memalukan anak-anak dan keluarga,“ ujarnya bersungguh.

Liza mengakui hampir jatuh terduduk saat negara di landa pandemik sejak tahun lalu.

Tuntut ilmu

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya kelangsungan bisnesnya dalam suasana ekonomi yang masih tidak stabil lagi, isteri kepada Shah Indigo itu berkata, sama seperti orang lain, beliau juga hampir jatuh terduduk pada awalnya.

Jelas Liza Hanim, beliau berusaha sehabis baik untuk mendapatkan ilmu secukupnya bagi membantu orang lain yang memerlukan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya memang tersangkut sebab nak menyanyi tak boleh, bisnes saya, LH Media pula berkaitan dengan majlis-majlis.

“Saya juga berhasrat untuk mengeluarkan produk haruman pada Mac tahun lalu, tetapi disebabkan PKP, saya tukar perancangan itu.

“Tidak dinafikan, saya agak bergelut untuk meneruskan bisnes ini ketika era pandemik Covid-19 baru bermula disebabkan saya tiada pengalaman dalam perniagaan membabitkan pengguna. Tambahan pula saya menggunakan khidmat ejen,” ungkapnya.

Ibu kepada lima orang cahaya mata ini bersyukur masih mempunyai vokal yang sama seperti 20 tahun dahulu.

Luah Liza Hanim lagi, ada ketikanya beliau pernah rasa putus asa. Namun demikian, semangat berkobar-kobar untuk membantu orang lain menjana pendapatan dalam tempoh sukar ini membuatkan beliau bangkit.

“Walaupun saya ada pengetahuan asas dalam arena perniagaan, saya letak semua itu ke tepi. Saya ikuti kelas dalam talian untuk meraih semula pengetahuan yang berkaitan,“ tuturnya.

Kongsi Liza Hanim, biarpun masih setahun jagung, namun dirinya bersyukur kerana perniagaan yang disusun berkembang dengan baik secara perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, kini saya sudah mempunyai 200 ejen berdaftar. Sasaran saya adalah untuk memiliki 500 ejen pada tahun 2022. Saya mahu hasilkan lebih banyak wangian,“ katanya yang pernah tampil dengan wangian jenama Scent Of Hope by Liza Hanim sebelum ini.

Mengenai momentum seni pula, penyanyi lagi Gelisah Mimpi itu berkata, beliau bakal tampil dengan single terbaharu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.

Masih belum mempunyai tarikh spesifik naskhah berkenaan akan dilancarkan, membuatkan Liza Hanim memilih untuk merahsiakan judul singlenya itu.

“Ikutkan lagu tersebut sudah dirakamkan dan muzik video juga sudah selesai penggambaran. Harapnya, saya akan tampil dengan lagu baharu pada tahun depan. Jadi buat sementara ini, saya boleh tumpukan pada perniagaan dulu,“ ujarnya menutup bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca