'Anak saya yang awak kata mati katak... ,' - Ibu Sandra luah rasa terkilan

A
A
A

IBU Allahyarham Sandra Dianne, Nur Syakinah Abdullah meluahkan rasa terkilan dengan komen seorang pengguna laman sosial yang mengatakan kematian anaknya sebagai mati katak.

Menurut Sakinah, komen tersebut tidak sepatutnya ditulis, lebih-lebih ketika mereka sekeluarga masih lagi bersedih dengan pemergiaan Sandra.

"Saya tak mahu bercerita tentang ini tetapi memandangkan komen anda sinis dan memedihkan hati, sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak itu meninggal dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh.

"Wajahnya bersih, tenang seperti orang sedang tidur. Keluarga kami sedang berkabung, berhati-hatilah dengan komen-komen anda.

"Saya yakin Allah tempatkan anak saya dalam kalangan orang-orang yang diredai. Insya-Allah," tulisnya menerusi akaun Facebook miliknya.

Pemilik sebenar gambar profil sudah membuat laporan polis susuluan gambarnya digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan akaun palsu dan seterusnya meninggalkan komen biadap mengenai kematian Sandra.

Terdahulu, seorang individu menulis pelbagai kata-kata hinaan terhadap penyanyi Hey Kau sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan netizen.

Difahamkan akaun tersebut adalah akaun palsu dan pemilik sebenar gambar profil berkenaan sudah meminta orang ramai agar melaporkan akaun tersebut.

Dalam pada itu, Syakinah turut meluahkan kerinduannya terhadap Sandra yang disifatkan sebagai anak yang mudah dijaga sejak kecil lagi.

Tambah Syakinah, pemergian Sandra adalah dugaan yang cukup berat untuk dihadapinya.

"Berat sungguh dugaan yang mama kena hadapi. Mama tak sangka akan bawa balik kakak dalam keadaan kaku.

"11 September 2020, jam 1 pagi kakak (Sandra) pergi tinggalkan mama. Menjelang hari lahir kakak, bayangkan kesedihan mama melalui semua ini tanpa kakak di sisi.

"Banyak yang ingin mama coretkan tentang kakak, namun jiwa mama masih diselubung rasa duka yang mendalam.

"Mama rindu. Tenang lah kakak di sana ya. Mama akan selalu doakan kakak, buat pahala untuk kakak. Insya-Allah, mama yakin Allah reda pada anak mama. Allah panggil pulang pada hari Jumaat yang indah penuh berkat dengan cuaca yang nyaman dengan sedikit hujan. Mudah-mudahan kakak syahid," luahnya.

Allahyarham Sandra yang juga peserta program Big Stage 2020 disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya, semalam, selepas terbabit kemalangan pada Sabtu lalu di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tenah (ELITE) berhampiran Subang Jaya.

Jenazah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah, semalam.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca