PELAKON popular era 1990an, Mas Anizan meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya, Mas Aliza Ali selamat melangsungkan pernikahan pada Jumaat lalu.

Majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Agama Islam Shah Alam itu menyaksikan Mas Aliza dan pasangannya, seorang juruterbang, Faruq Azran, disatukan sebagai pasangan suami isteri dengan sekali lafaz.

Menurut Mas Anizan, perancangan majlis tersebut sudah dua kali tertunda disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, selepas majlis akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di negeri Selangor sejak 1 Julai lalu, dia mula memikirkan cara untuk mempercepatkan majlis tersebut biarpun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Kehadiran di pejabat agama itu hanya membabitkan tiga orang saja iaitu pengantin lelaki dan wanita serta anak kedua saya, Mohd Masli Daniel Ali sebagai wali.  Saya hanya menunggu di dalam kereta saja kerana mematuhi SOP ketat ditetapkan.

“Ikutkan majlis tunang dan nikah buat kali pertama dirancang pada 21 Mac lalu. Kemudian kedua majlis itu dianjak pula ke 12 Jun. Tapi akhirnya hanya majlis nikah saja diadakan hari ini.

“Kita utamakan akad nikah dulu, majlis resepsi menyusul kemudian apabila segala- galanya reda, selain dibenarkan penganjuran acara kahwin,” katanya.

Pasangan pengantin merakamkan detik bahagia di pelamin Melur Putih dengan mengenakan busana rekaan Man Kajang, manakala solekan pula oleh Ramzamode.

Berkongsi perasaan apabila anak sulung kini sudah bergelar isteri, pelakon Sara Sajeeda itu berkata, ia bercampur baur.

Iklan

“Sedih ada, bahagia dan gembira pun bertandang. Sedih kerana saya sudah sah menyerahkan tanggungjawab sebagai ibu kepada menantu. Lepas ini saya yakin Faruq pula dapat menjaga Baby (Masliza) dengan baik.

“Paling menyeronokkan kerana bertambah ahli keluarga baru. Insya-ALLAH saya yakin Faruq akan membahagiakan Baby,” katanya.

Selain Mas Aliza dan Mohd Masli Daniel Ali, Mas Anizan juga mempunyai seorang lagi anak bernama Ariana Marissa.

Iklan

 

(FOTO: Ihsan Mas Anizan)