PELAKON veteran Datuk Baharudin Omar meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, sekitar 6.30 petang, pada Sabtu.

Allahyarham yang juga dikenali sebagai Anjang Aki menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di sisi isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar dan dua anak.

Perkhabaran duka itu disahkan oleh wakil keluarga Allahyarham menerusi kiriman WhatsApps.

“Bagi pihak ahli keluarga Datin Nazariah @Ateh, ingin dimaklumkan bahawa suaminya, Datuk Haji Baharudin Omar @Anjang Aki baru sahaja meninggal dunia di rumah mereka, di Shah alam sebentar tadi.

“Sekarang ahli keluarga tengah sibuk melakukan persiapan terakhir buat arwah. Sama-sama kita doakan agar segala dosa arwah diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.

Dalam pada itu, isteri Allahyarham memaklumkan pemergian Allahyarham bukan disebabkan jangkitan Covid-1,9 selepas disahkan menerusi ujian calitan yang dilakukan cucunya, seorang doktor yang bertugas di Hospital Klang.

Iklan

Allahyarham yang baru sahaja menyambut ulangtahunnya yang ke-85 pada 12 Julai lalu, cukup aktif dalam dunia lakonan pada era 1970 dan 1980an.

Iklan

Gelaran Anjang Aki cukup sinonim dengan dirinya selepas tampil dengan lakonan berkesan menerusi drama yang menggunakan tajuk sama, pada tahun 1981.

Selain berlakon drama, Allahyarham juga aktif sebagai pelakon pentas yang terlibat dengan pelbagai pementasan teater dan seangkatan dengan pelakon Datuk Rahim Razali.