SEBUAH lagi filem aksi daripada produksi Korea berjudul Special Delivery menemui penonton di seluruh pawagam bermula 10 Februari lalu. Berbeza dengan filem-filem Korea sebelum ini, naskhah arahan Park Dae-Min itu memberi hiburan berbeza kepada penonton.

Mengambil latar seorang pemandu penghantaran khas yang bergerak secara haram, jalan ceritanya bergerak kepada pelbagai konflik yang mencetuskan ketegangan dari awal sehinggalah ke penghujung.

Special Delivery mengisahkan tentang Jang Eun-Ha yang memilih kerjaya sebagai pemandu penghantaran haram demi upah tinggi bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Meski berdepan dengan risiko, kerja Eun-Ha sentiasa berjalan lancar dan tidak pernah gagal dalam setiap misi yang diberikan kepadanya.

Bagaimanapun, suatu hari dia mendapat tugasan untuk membuat penghantaran khas melibatkan seorang budak lelaki yang menjadi buruan kumpulan gangster yang didalangi seorang pegawai polis. Di sinilah tercetusnya pelbagai konflik sehingga mengheret Eun-Ha kepada pelbagai kejadian tidak terduga.

Tidak hanya menumpukan kepada aksi dan jenayah, filem tersebut turut menyelitkan unsur kekeluargaan, kamanusian dan kesetiaan yang berjaya mengimbangi jalan cerita.

Antara yang menarik tentunya babak kejar-mengejar kereta ala filem Fast & Furious yang cukup mendebarkan. Apatah lagi ia melibatkan karakter wanita hebat lakonan Park So-Dam yang berjaya mencuri perhatian penonton.

Iklan

Aksi bersahajanya memandu kereta dengan pelbagai gaya dan kemahiran itu ternyata memberi pesona tersendiri kepada karakter tersebut.

Malah ia turut disokong dengan kerja kamera yang kemas, sekali gus berjaya menghasilkan shot-shot menarik dalam aksi pantas itu.

Park So-Dam berjaya memberikan lakonan mantap, cuma dari segi keserasian bersama pelakon cilik, Jeong Hyeon-Jun seperti kurang memberikan impak. Situasi itu membuatkan beberapa babak penting yang sepatutnya mencetuskan emosi berat, tidak begitu menjadi.

Iklan

Apa-apa pun, filem yang diklasifikasikan untuk tontonan 18 ini tetap menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton.

Special Delivery
Bahasa: Korea
Klasifikasi: 18
Genre: Aksi/jenayah
Durasi: 1 jam 49 minit
Pengarah: Park Dae-Min
Pelakon: Park So-Dam, Song Sae-Byeok, Kim Eui-Sung, Jeong Hyeon-Jun
Tarikh Tayangan: 10 Februari 2022
Edaran: GSC Movies