NAMA Aniq Muhai barangkali masih hijau dalam industri seni, namun semenjak dipilih sebagai Artis Nasyid Baharu Pilihan pada malam Anugerah Nasyid Malaysia Disember lalu, kelibatnya semakin menjadi perhatian.

Pernah mempertaruhkan single Hingga Saat Akhir, Aniq kini kembali lebih bertenaga menerusi lagu baharu,  Mahakarya.

Bercerita mengenai lagu itu, penyanyi berdarah Melayu-Cina itu melihat Mahakarya sebagai sebuah karya membawakan mesej kebangkitan setelah terus-menerus jatuh dalam kehidupan.

Laras bahasa pada liriknya yang lembut dan seakan-akan memujuk menjadikan Mahakarya sebuah lagu yang mampu memberikan inspirasi kepada pendengar untuk terus berjuang.

“Hingga Saat Akhir keluar dua hari sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama. Akibatnya banyak yang dirancang untuk single itu terpaksa dibatalkan dan team produksi membuat perancangan baharu.

“Situasi ini sedikit sebanyak memberi impak terhadap sambutan Hingga Saat Akhir dan diri saya sendiri ketika itu.

“Sejujurnya saya serba salah dan buntu. Banyak yang telah dilaburkan. Ditambah pula PKP buat pertama kalinya dijalankan.

“Bagaimanapun kekecewaan itu ditebus menerusi Mahakarya, sebuah lagu yang membawakan mesej kebangkitan daripada kejatuhan lalu,” jelasnya.

Iklan

Tambah Aniq, Mahakarya bukan sekadar lagu biasa. Bahkan ia sebuah karya pujukan kepada diri yang telah berulang kali diuji, namun masih kuat berdiri sehingga ke hari ini.

“Semua yang berlaku ada hikmahnya. Bunyi macam cliche tapi itulah hakikat yang saya rasai hari ini. Memiliki sahabat yang baik, peminat Muhaiminians dan fans Tarbiah Sentap yang sentiasa supportive itu semua suatu rahmat yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya positif.

Iklan

Klip video rasmi Mahakarya arahan Aidil Azhar kini boleh ditonton di laman rasmi YouTube Tarbiah Sentap dan distrim di semua platform digital.