BIARPUN sudah beberapa minggu berlalu, ingatan khalayak barangkali masih teringat tentang persembahan usahawan muda, Iqbal Zulkefli pada pertandingan Big Stage minggu pertama.

Ada yang tertawa, ada yang tiada perasaan dan tidak kurang juga yang mengatakan Iqbal seorang berani! Katakan apa sahaja, ia langsung tidak meninggalkan sebarang kudis, apatah lagi melihatkan susuk lelaki berusia 28 tahun itu putus semangat.

Secara peribadi, saya mengenali ‘budak’ ini sejak enam tahun lalu. Memang sudah lama berlalu, tetapi ingatan saya terhadap pelajar tahun pertama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan Penulisan Kreatif itu tetap segar dalam ingatan.

Ketika itu saya menganjurkan satu pertandingan yang berlangsung di Instagram. Program itu antara lain meminta para peserta menghasilkan rakaman video mengikut kreativiti masing-masing.

Iqbal atau nama penuhnya, Ahmad Iqbal Zulkefli salah seoarang daripada peserta. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada beliau dan hadiah berupa sebuah telefon pintar, Iphone menjadi miliknya.

Sewaktu ingin menyerahkan gajet tersebut, saya bertemu beliau di sebuah kedai makan. Pada masa itu, Iqbal turut ditemani oleh kakak dan anak buahnya.

Kami berbual secara santai. Antara inti perbualan kami adalah Iqbal sempat menceritakan kepada saya bahawa beliau ingin hidup berdikari, berusaha keras dan ingin meringankan beban keluarga.

Lagipun, dirinya berterus-terang bahawa bukan datang daripada keluarga berada.

Disebabkan itu, Iqbal gemar menyertai pelbagai jenis pertandingan dan berjaya memenangi sebahagian daripadanya.

Jadi, pertemuan berkenaan merupakan kali pertama di antara saya dan beliau.

Selepas itu, saya tidak pernah bersua muka secara berhadapan lagi sehinggalah pembantu saya memaklumkan bahawa Iqbal sudah bekerja dengan usahawan terkenal tanah air, Datuk Seri Vida (DSV).

Sebaik mendengar perkhabaran itu, ini respons saya: “Eloklah bekerja dengan DSV.”

Namun, perkataan ‘elok’ yang saya rujuk itu membawa kepada banyak maksud. Enggan membuat rumusan awal, saya memilih untuk tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku nanti.

Melihat beliau dari kejauhan, pelbagai cerita mula timbul. Saya sendiri berasa seakan tidak mengenali dirinya dan getus hati saya: “Ini bukan budak yang aku kenal dulu.”

Kemudian, saya sekali lagi berpeluang bertentang mata dengan beliau sewaktu mengendalikan sebuah program televisyen bertajuk Heart to Heart terbitan Astro.

Sejujurnya pada saya, saya masih lihat Iqbal merupakan seorang yang sopan dan hormat kepada orang tua.

Kesempatan bersua itu membuatkan saya lantas bertanya beberapa soalan kepada empunya diri dan tentunya tentang transisi beliau.

Apa sudah jadi? Dulunya seorang yang naif, namun berubah sehingga menjadi seperti ini? Aswara mendidik pelajar dengan elemen kesenian, hiburan, perniagaan dan elemen-elemen lain yang bermafaat untuk masyarakat.

Universiti DSV

Pun demikian, apa yang berlaku sejak kebelakangan ini ibarat dirinya sudah menjadi graduan Universiti DSV. Dalam universiti itu, Iqbal dididik tentang selok-belok perniagaan dan kalis dengan caci maki netizen.

Selain itu, antara ‘subjek’ lain yang diajar di Universiti DSV seperti penghasilan konten sensasi, wajah cantik, menunjuk-nunjuk kekayaan, penceritaan yang kuat, perlu kalis peluru dengan tohmahan, kena bermuka tebal, pandai ‘propa’, ‘bijak’ berlakon termasuk kena mahir menyanyi dan mungkin ada ciri-ciri lain yang tidak disenaraikan dalam artikel sulung saya di SinarPlus ini.

Semua subjek berkenaan dilihat untuk memenuhi pasaran kerjaya dan strategi memasarkan produk. Kata mudahnya, graduan Universiti DSV bakal lahir dan memiliki tahap viral masing-masing.

Sama juga belajar seperti menuntut di universiti lain, pelajar akan dipecahkan mengikut beberapa pengelasan tahap pencapaian iaitu graduan kelas pertama, kedua atas dan kedua bawah.

Iklan

Hal yang serupa berlaku Universiti DSV. Para pelajar akan dibahagikan kepada graduan viral kelas pertama, kelas kedua dan selanjutnya.

Pun demikian, kita tidak boleh cakap graduan yang dihasilkan daripada Universiti DSV tidak berkualiti kerana mereka semua ini sudah mengikut piawaian tersendiri.

Mengikut pemahaman saya, begini. Jika kita melihat pada minggu pertama persembahan Iqbal di Stage, DSV mengatakannya boleh menyanyi.

Kenyataan itu kemudian bertukar 360 darjah pada minggu kedua apabila anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu dikatakan tiba-tiba tidak boleh menyanyi pula oleh DSV.

Kesimpulan yang dibuat oleh DSV itu saya fikirkan hanya sekadar untuk menarik perhatian ramai untuk dijadikan bahan percakapan di alam maya atau istilah mudahnya, cerita menjadi tular!

Pun demikian, berbeza pula jika seseorang menjadi pelajar di Universiti Paknil. Kaedah pembelajarannya mungkin lambat, ambil masa yang lama atau berkemungkinan tidak menjadi langsung.

Konsep saya lebih kepada konvensional iaitu mengajar tentang proses pemilihan kandungan termasuk bakat yang perlu ada untuk disesuaikan dengan asam garam anak seni.

Iklan

Ringkasnya, mereka boleh menjadi graduan, tetapi perlu menempuhi pelbagai cabaran terutamanya jaringan hubungan dalam industri, cara bekerja dan adab. Perkara sebegitu ada di Universiti Paknil.

Sama juga jika mereka menjadi graduan Universiti Datuk Rosyam Nor atau Datuk Seri Siti Nurhaliza. Setiap daripada mereka mempunyai cara didikan berbeza dan begitu juga dengan kaedah selebriti berpengaruh yang lain.

Sedikit penambahan mengenai Iqbal. Ketika saya menemu bual beliau dalam rancangan Heart to Heart, saya ada bertanya dengannya: “Kalau awak anggap kontroversi ini sudah berada di kemuncak, adakah ia akan berakhir?”

Jawapan beliau cukup ringkas: “Saya cuba.”

Pastinya apabila sudah tiba di kemuncak itu, saya beranggapan, mungkin tiada konsep ‘pada kemudian hari lagi’ lagi.

Saya yakin, para pembaca boleh menilai dan mentafsirkan sendiri reaksi balas jawapan Iqbal terhadap soalan mudah yang saya kemukakan.

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram