DI Hollywood, pelakon lama atau veteran masih diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama dalam sesebuah filem.

Malah semakin berpengalaman seseorang pelakon itu, semakin tinggi bayaran yang akan diterima.

Bagaimanapun situasi itu berbeza di Malaysia apabila pelakon veteran sering dipandang sepi dan tidak kurang dibayar rendah biarpun diberi peranan untuk membawakan watak penting dalam sesebuah drama atau filem.

Lebih menyedihkan, mereka juga diberikan kata dua sama ada terima sahaja tawaran atau tawaran tersebut akan diberikan kepada pelakon lain.

Perkara itu diakui sendiri oleh pelakon berbakat besar, Jalil Hamid ketika ditemui pada sesi sidang media drama Ayahanda yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Akui Jalil atau nama penuhnya Abdul Jalil Abdul Hamid, 64, dia pernah ditawarkan bayaran RM150 untuk sebuah episod dan memilih untuk menolaknya kerana rasa terhina.

“Kenapa pelakon tua (berusia) menerima bayaran lebih murah daripada pelakon muda? Adakah kerana dia tua dan tidak ada pengikut di media sosial?

“Tolonglah, ini (sikap antara dua darjat) adalah satu perkara yang tidak adil. Ia buat pelakon tua rasa terpinggir. Apa dosa jadi pelakon tua? Apa salah mereka? Orang tua juga perlu duit untuk makan dan minum.

“Jangan anggap bila dah tua, sudah berusia, maka mereka (pelakon veteran) tidak layak memegang watak utama,” luahnya kesal.

Tambah pelakon filem Bisik Pada Langit itu, perkara seperti ini seolah-olah sudah menjadi amalan biasa dalam industri seni.

“Bila kita tanya kenapa dibayar murah, mereka seolah-olah memandang enteng dan memberi kata dua sama ada kami akan terima atau mereka akan cari pelakon berusia lain.

Iklan

“Tidak kurang juga yang berkata : ‘terima sahajalah memandangkan dalam situasi kini (akibat pandemik) kerja pun tak ada.’,” ujarnya yang meminta maaf seandainya ada pihak yang terasa dengan kenyataannya.

Dalam pada itu, ditanya pandangannya apabila ada pihak yang melabelkan dia sebagai ‘hero tua’ apabila diberi peluang memegang peranan utama dalam drama bersiri Ayahanda, Jalil berkata, dia tidak memandang gelaran itu sebagai satu isu besar.

“Saya tak ada apa-apa nak komen. Saya rasa, semua yang bergelar pelakon, kalau boleh nak jadi pelakon utama atau hero,” katanya.

Iklan

Sementara itu, berkongsi mengenai penglibatannya dalam drama Ayahanda, Jalil berkata, dia berbesar hati apabila dapat bekerja dengan rakan lamanya iaitu Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, selaku pengarah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai gandingannya.

Ayahanda diadapatasi daripada novel berdasarkan kisah benar nukilan Allahyarham Azizi Abdullah, penerima Anugerah SEA Write Award 1988 yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mula disiarkan sejak 10 Julai lalu, Ayahanda boleh ditonton setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3.