PENGGEMAR drama tempatan pastinya mengenali sosok pendatang baharu, Arena Iman yang kini mula menempa nama dalam industri hiburan tanah air menerusi naskhah bertajuk Hati Yang Dikhianati.

Bersiaran di saluran Astro Prima, karya arahan Riza Baharudin itu merupakan kemunculan kedua pemilik nama lengkap Arena Wan Mun Yi Iman Wan membintangi drama rantaian selepas penampilan sulungnya menerusi sitkom remaja, SMK.

Meskipun mengambil masa lebih setahun untuk muncul kembali selepas menyertai Dewi Remaja 2018/2019, gadis itu tetap optimis dengan perjalanan kariernya dalam dunia lakonan.

Namun, sebelum pergi jauh, penulis ingin menebak apa isi cerita di sebalik ‘isu di belakang tabir‘ yang berlaku pada pertandingan berprestij itu. Ya, barangkali semua tahu bahawa Arena gagal menempatkan diri ke senarai akhir Dewi Remaja pada tahun tersebut. Beliau cuma dinobatkan sebagai Dewi Remaja Kegemaran. Namun, graf populariti yang diraih agak cepat berbanding yang lain.

Implikasinya, kecaman demi kecaman sering datang menghimpitnya. Ironinya, Arena tidak melakukan apa-apa kesalahan, cuma beliau adalah seorang anak kepada komposer ternama, Iman Wan Tuck Meng yang pernah menghasilkan lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza (Cinta Tak Berganti) dan Amy Mastura (Akan Datang).

Bukan itu sahaja, suara nakal yang menuduh kononnya beliau memanipulasi adiknya, seorang remaja autisme yang dikenali menerusi platform digital, Adam Austisme Family, begitu merentap sanubarinya.

Ah! Itu semua memang tidak enak untuk didengar. Kata Arena, persepsi jahat itu sesungguhnya, telah menyebabkan dirinya tertekan lantaran ia masih berbekas sehingga pada saat ini.

Pertahan adik autisme

“Bohonglah jika saya kata tidak berasa apa-apa terhadap tuduhan mereka. Pernah satu ketika, saya menangis kerana tidak mampu menahan sedih. Tambahan saya pula seorang yang berjiwa halus (sensitif) sehinggakan kadangkala mudah menitiskan air mata,“ ujarnya dengan nada penuh kepiluan.

Jelas Arena, Adam Austisme Family hanyalah satu medium familinya berkongsi kisah, kesedaran dan realiti sebenar membesarkan adiknya, Adam yang merupakan anak istimewa.

Justeru, tohmahan yang mengatakan mereka cuba meraih keuntungan dengan cara mengeksploitasi Adam adalah satu dakwaan liar dan tidak berasas.

“Itu tidak betul sama sekali. Bila terjadi hal-hal yang tidak sedap didengar seperti itu, ia sekali gus menunjukkan sesetengah masyarakat masih kurang peka atau dengan erti kata lain, pengetahuan mereka tentang anak autisme hanya ‘ala kadar‘ sahaja,“ kata beliau.

Natijahnya, golongan yang tiada sifat empati tanpa rasa simpati itu dengan mudah membuat tafsiran semberono dan seperti cuba menenggelamkan jerit-perih diri dan keluarganya memperjuangkan nasib golongan autisme.

“Pernah suatu ketika timbul salah faham antara kami sekeluarga dengan pihak berkuasa. Mereka sangka Adam dan ayah bergaduh. Apa yang berlaku, Adam dan ayah dipisahkan, namun pendekatan itu telah membuatkan Adam semakin agresif.

“Namun, selepas kami menjelaskan situasi Adam, barulah mereka memahami. Impak daripada pengalaman itu, kami agak berhati-hati untuk membawa Adam ke tempat awam kerana bimbang berlakunya salah faham lagi,“ imbaunya.

Tutur Arena, itu belum kira dengan kata-kata nista yang bertebaran di laman sosial yang adakalanya turut mengguris hati ibu dan bapanya.

“Saya masih teringat, kami ada muat naik video kecederaan yang dialami oleh ahli keluarga disebabkan Adam. Tanpa kami duga, warganet mengatakan kami tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia hanya akan mengundang tanggapan negatif.

“Walhal niat kami hanya untuk memberitahu umum tentang keadaan sebenar dan apa langkah terbaik mengatasi masalah sebegitu jika perkara yang sama dialami mereka. Semangat kami tak akan pernah pudar dalam mempertahankan Adam dan anak-anak autisme yang lain,“ katanya dengan penuh tekad.

Justeru kata Arena, beliau mahu masyarakat mengerti. Tiada sekelumit niat di dalam dermaga hatinya mempergunakan status adik kesayangannya waima ayahnya yang berpengaruh itu.

“Kehadiran mereka mewarnai kehidupan saya dan untuk saya melangkah jauh meneroka bidang apa pun termasuk seni, memerlukan saya berkerja keras dan tiada tiket ekspres,“ katanya dengan penuh ketegasan.

Gangguan bahasa

Rentak perbualan yang mencambahkan perasaan galau tadi, dinoktahkan seketika. Penulis kemudian menghalakan kompas bicara tentang sisi lain dirinya pula.

Kepada penulis, selebriti berusia 22 tahun itu mengakui bahawa dirinya menghidapi masalah gangguan bahasa (language disorder) sejak berusia 12 tahun.

Pengakuan itu bukan dibuat main-main. Beritahu anak kacukan Cina-Melayu itu, kemelut berkenaan diketahui selepas beberapa kali melakukan pemeriksaan dengan pakar di hospital.

Ujarnya, pada peringkat awal, keadaan tersebut memberi tamparan hebat kerana beliau sukar memahami sesuatu perkara, ditambah dengan penguasaan bahasa Melayunya yang kurang fasih.

Impaknya masih dapat dirasai sehingga kini. Masakan tidak, beliau sering menjadi sasaran kritikan terutama melibatkan aksi lakonannya dalam drama rantaian Hati Yang Dikhianati .

“Sejak mula naskhah tersebut ditayangkan pada April lalu, saya memang sentiasa membaca komen penonton dan ya, ia penuh dengan kritikan. Ada juga yang membandingkan saya dengan karakter asal. Namun, komen popular adalah mereka mengatakan saya berlakon ‘kayu‘. Memang sedih,“ katanya.

Ungkap bintang sedang dalam ciptaan itu, semuanya memang ada kaitan dengan gangguan bahasa yang dihadapinya. Beliau sendiri akui kekerapannya bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, membuatkan dirinya agak canggung untuk melontar bahasa ibunda dengan sebaiknya, lebih-lebih lagi terdapat sesetengah perkataan yang asing padanya.

Namun, secara peribadi, penulis berpandangan mutu lakonannya tidaklah seteruk mana seperti yang digembar-gemburkan, sementelah sudah terang lagi bersuluh, Hati Yang Dikhianati merupakan taruhan pertama gadis kacukan Cina itu membawakan watak serius.

Iklan

Justeru, mengambil kesempatan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada 1 Jun lalu, ujar Arena, dirinya mengambil langkah ke depan dengan memperbaiki kelemahan bahasanya, di samping mengasah dan mempelajari teknik lakonan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu turut berterus terang kepada penulis. Katanya, beliau juga perlu berusaha sebanyak 10 kali ganda berbanding individu lain ketika memahami jalan cerita.

“Mudah kata, jika orang lain hanya baca skrip sekali sudah memadai, saya perlu membaca 10 kali baru benar-benar faham,“ akuinya tanpa berselindung.

Justeru, sebaik mengetahui pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28, Nabila Huda mengadakan kelas lakonan secara dalam talian, tanpa berlengah beliau terus menyertainya.

“Saya ambil peluang minta nasihat bagi memperbaiki lakonan daripada kak Nabila. Pada masa sama, saya juga banyak membaca dengan menonton beberapa filem tempatan dan antarabangsa untuk mengetahui bagaimana menterjemahkan watak dengan baik,“ katanya.

Rahsia Camelia

Perbualan kami yang semakin serasi membuatkan Arena terus bercerita dan bercerita. Titipnya, beliau adalah seorang pencinta drama Korea.

Sering disamakan dengan wajah pelakon terkenal Korea, Park Shin-Hye, gadis yang berkemahiran bermain piano, gitar dan ukelele itu berkata, gelombang K-Drama sudah dirasainya sejak kecil lagi.

“Untuk pengetahuan semua, saya sering menemani nenek saya menonton drama Korea. Mula-mula dilakukan secara paksa rela, tetapi lama-kelamaan kecintaan itu berlaku secara automatik.

“Setiap kali nenek datang ke rumah menziarahi kami, nenek pasti akan membawa beg kecil berisi video cakera padat (VCD) drama Korea. Apabila ingin menonton, nenek pasti akan pujuk saya untuk tonton bersama,“ katanya yang sangat meminati drama rantaian, Goblin lakonan Gong Yo dan Lee Dong-Wok.

Iklan

Arena tanpa segan-silu berkata, beliau juga menaruh harapan untuk bekerjasama dengan pengarah popular, Michael Ang.

“Kalau kita lihat, bukan sahaja karya yang dihasilkan Michael berkualiti dan berbeza dengan yang lain, bahkan drama arahannya juga memiliki aura dari negara Korea,“ ujar beliau.

Sebelum melabuhkan tirai perbualan, penulis ingin melontarkan pertanyaan yang sudah lama berlegar di dalam minda. Jika dilihat, nama yang ditulis menerusi akaun Instagram miliknya, tertera nama ‘arenalieya‘. Siapakah Lieya?

Dalam pada berteki-teki, beliau kemudian membongkar rahsia. Ujar beliau, Lieya merupakan singkatan nama Camelia yang diberikan oleh ibunya.

Meskipun tidak direkodkan secara rasmi, beliau tetap menghargai dan mengabadikan nama indah itu menerusi laman sosialnya.

“Sebenarnya sewaktu kecil mama ingin memberikan nama Camelia, tetapi saya tidak tahu mengapa tiada. Jadi simbolik kepada menghargai nama itu, saya menggunakan nama Lieya sebagai singkatan Camelia.

“Kadangkala ada yang tersalah sangka menyangka nama saya Arena Lieya, walhal ia hanya nama timangan sahaja,“ terangnya menutup bicara.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram