AKTOR popular Bollywood, Arjun Rampal mengesahkan dirinya dijangkiti virus Covid-19 meskipun tidak mempunyai sebarang gejala.

Menerusi perkongsian yang dilakukan di laman Instagram miliknya hari ini, Arjun, 49, berkata, dia kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Saya telah disahkan positif Covid-19. Walaupun tidak mempunyai gejala, saya telah mengasingkan diri dengan menjalani kuarantin di rumah dan mendapat rawatan yang diperlukan.

“Saya mengikuti semua protokol yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam perkongsian sama bintang filem Raajneeti itu turut mengingatkan mereka  yang ada menemuinya dalam tempoh 10 hari lalu agar mengambil tindakan yang diperlukan.

“Kepada semua yang telah berhubung dengan saya dalam 10 hari yang lalu, harap berhati-hati dan mengambil langkah yang diperlukan.

Iklan

“Ini adalah masa yang sangat menakutkan bagi kita tetapi jika kita sedar dan bijak untuk jangka waktu singkat ini, ia akan memberikan faedah jangka panjang.

Iklan

“Bersama-sama kita boleh dan kita akan melawan Corona,” ujarnya.

Tiga hari lalu, India dilaporkan telah mencatat 200,739 kes baharu Covid-19 dalam masa 24 jam dan merupakan peningkatan kes harian tertinggi semenjak pandemik tercetus. Sehingga kini, kes positif di negara itu telah mencecah 14,074,564 kes.