BELUM lagi reda isu selebriti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Neelofa dan beberapa instafamous didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat, kini giliran artis rock negara pula.

Terkejut Bibir Merah apabila semalam membaca laporan media di laman sosial Facebook tatkala menunggu giliran untuk membuat bayaran barangan di kaunter sebuah pasar raya.

Dilaporkan, penyanyi dan pelakon tanah air, Datuk Awie, 52 akan dipanggil memberikan keterangan susulan tularnya klip video yang mendakwa beliau melanggar SOP PKP Permulihan (PKPP) pada satu majlis di Melaka.

awie
AWIE akan dipanggil beri keterangan selepas klip video yang mendakwa penyanyi berusia 52 tahun itu melanggar SOP PKPP dalam satu majlis pada 30 April lalu di Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan pada Ahad mengenai satu video klip yang tular di media sosial.

“Video tersebut menunjukkan seorang selebriti iaitu Datuk Awie dan beberapa individu lain telah melanggar SOP PKPP semasa menghadiri majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka.

“Kesemua yang terlibat dalam kes ini termasuk Datuk Awie dan penganjur program akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau, siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka untuk sebarang keputusan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan),” jelas Mohd Sukri.

Mengulas lanjut, beliau turut memohon kesemua individu terlibat atau mempunyai maklumat hadir ke IPD Melaka Tengah bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKPP dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang telah dikuatkuasakan,” katanya.

Terdahulu, menerusi video berdurasi 42 saat yang tular itu kelihatan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman dengan beberapa individu tidak memakai pelitup muka pada satu majlis misi kemanusiaan yang berlangsung 30 April lalu.

Iklan
pelitup muka
ORANG ramai dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Pesanan Bibir Merah, beringatlah kerana kes Covid-19 di negara kita semakin hari semakin meningkat.

Jika masyarakat berterusan mengambil sikap sambil lewa tidak mematuhi SOP ditetapkan bimbang ia mendatangkan kemudaratan pada kemudian hari.

Iklan

Tambahan pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pun telah memberi ‘bayangan’ yang Malaysia berkemungkinan bakal berdepan situasi katil di unit rawatan rapi (ICU) tidak mencukupi.

“Sila duduk di rumah. Jika anda dan keluarga dijangkiti Covid-19 mungkin akan tiba masa katil ICU kita tidak mencukupi.

“Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga,” tulis beliau ringkas dalam ciapan di Twitter baru-baru ini.