ERA modenisasi kini sedikit sebanyak telah meluputkan ingatan kita kepada banyak hal konvensional.

Antaranya aktiviti kiriman kad ucapan raya yang kini sudah semakin dilupakan dan dinyahkan terus. Bahkan, mahu jumpa pengusaha yang menjual kepingan kad yang bervariasi ilustrasi pun semakin susah.

Barangkali menganggap pendekatan itu sudah lapuk dan ditelan dek zaman, orang sekarang tidak kira tua atau muda, tidak lagi memilih untuk menghantar kad ucapan raya dalam bentuk fizikal.

Semuanya disampaikan melalui pesanan Whatsapp atau Telegram. Cukup dengan sebaris ayat dan ‘diserikan’ dengan emoji yang pelbagai. Terlalu mudah, bukan?

Mengimbau semula kenangan saya suatu ketika dahulu sekitar tahun 1990-an, zaman itu kiriman kad raya daripada para peminat sudah menjadi satu kebiasaan.

Menariknya, artis saling bersaing sesama sendiri untuk mengetahui siapa paling banyak menerima kad raya.

Apabila dikenang kembali, minggu kedua Ramadan biasanya masing-masing sudah sibuk. Masakan tidak, setelah menerima berguni-guni kad, tiba pula masa untuk membuka dan membacanya satu persatu.

Kesibukan kami sama juga dengan kakitangan pos yang bertungkus-lumus bekerja. Bukan sahaja menghantar, tetapi sedaya upaya cuba memastikan semua kad yang dilayangkan pengirim tiba tepat pada waktunya sepanjang Ramadan.

Ketika era saya, tarikh akhir menghantar sebarang kiriman termasuk kad adalah seminggu sebelum Aidilfitri.

Jadi, sesiapa yang terlepas dari had tempoh berkenaan, kad mereka berkemungkinan akan diterima lewat atau dengan kata mudah, selepas rayalah jawabnya.

Balas & pos sendiri

Apa yang saya boleh katakan, para peminat kebanyakannya memang kreatif dalam mendesain kad.

Pelbagai bentuk kad raya yang diterima. Ada yang berbentuk keris dan sebahagiannya dihiasi dengan bunga-bungaan.

Paling tidak dapat dilupakan adalah peminat meletakkan bedak atau minyak wangi di dalam kad.

Ketika zaman itu juga, untuk tahu siapa artis popular, kita lihat kepada berapa banyak jumlah karung guni kad raya yang diterima.

Menariknya tentang para peminat ini lagi, mereka ini bijak dan tahu mencari alamat untuk menghantar kad raya mereka.

Bayangkan ketika itu, teknologi yang wujud manalah secanggih sekarang yang mana segalanya berada di hujung jari.

Berhubung dengan alamat saya, mereka akan menghantar ke stesen televisyen TV3, tempat saya bertugas. Segelintirnya akan mengepos kad ke syarikat rakaman Pony Canyon.

Alhamdulillah, jumlah kad raya yang tiba di kedua-dua alamat itu memang dalam kuantiti yang sangat banyak.

Membukanya satu hal, membaca dan membalas pula satu cerita lain.
Sejujurnya, saya memang membaca semua kad yang diterima dan berusaha sebaik mungkin dengan memastikan setiap kad tersebut dibalas.

Saya akan menempah sekitar 1,000 atau 2,000 keping kad raya khas dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan menandatangani setiap satu termasuk menulis ucapan dengan tulisan tangan.

Ya, benar, saya memang menulis sendiri dan tidak pernah mengupah sesiapa tidak mengira sama ada adik beradik atau saudara-mara.

Selepas bab tersebut selesai, kita perlu membeli setem pula untuk menghantar kad tersebut.

Sekali lagi, saya berusaha untuk menulis alamat penerima dengan tulisan tangan.
Daripada situasi itu, kita dapat melihat dan menilai yang mana satu artis popular dan bagaimana kegigihan mereka untuk membalas semua kad yang diterima.

Namun, dalam hal tersebut, terdapat juga syarikat rakaman atau pengurusan mencetak kad khas bagi pihak artis. Bagaimanapun, segalanya saya melakukan sendiri dari segi mengadakan sesi fotografi termasuk menghantarnya sendiri ke pejabat pos.

Ya, memang ia sedikit memenatkan, tetapi saya anggap ia sebagai hadiah atas sokongan peminat yang tidak henti-henti.

Iklan

Fotografi majalah, akhbar

Selain itu, apabila semakin menjelang Syawal, sebahagian artis akan sibuk mengadakan sesi fotografi dengan majalah dan akhbar untuk terbitan hari raya.

Artis popular akan mendapat peluang untuk muncul sebagai muka depan majalah. Ketika itu, kalau boleh saya mengimbau semula, Datuk Seri Siti Nurhaliza antara penyanyi yang paling ‘laku’.

Beberapa artis lain yang selalu menjadi muka depan pada waktu itu ialah Ziana Zain, Ella dan Tomok.

Pernah juga beberapa kali saya dapat muka depan dan sesekali belakang atau muka tengah.

Seperkara, mengadakan sesi fotografi dengan pelbagai majalah dan akhbar, boleh dikatakan sebagai penanda aras untuk membuktikan tahap populariti artis tersebut.
Semakin kerap wajah mereka muncul di dada majalah, semakin popularlah artis itu.

Apa yang saya boleh katakan, kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri berbeza jika ingin dibandingkan dengan artis sekarang.

Mereka tidak merasa bagaimana perasaan mendapat kad raya berguni-guni.
Memori yang sesekali dikenangkan itu boleh membuatkan kita tersenyum apabila mengingatkannya kembali.

Iklan

Pada saya, perkara sebegini tidak mungkin akan terjadi lagi. Masakan tidak, semuanya sudah dilakukan secara dalam talian.

Melihat atmosfera itu, keseronokan menjadi bintang dahulu dengan sekarang sudah berbeza lantaran setiap peralihan masa, mempunyai cara masing-masing lebih-lebih lagi ketika era pendigitalan seperti sekarang.

Namun, alangkah indahnya kalau momen itu berulang kembali. Wallahualam.
Sebelum mengakhiri penulisan pada kali ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut

Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Sinar Harian.
Kepada yang pulang ke kampung, berhati-hati memandu. Semoga lebaran pada kali ini membawa lebih keceriaan kepada kita semua. Jaga diri!

Datuk Aznil Nawawi ialah pengacara,
pelakon, penyanyi, pengarah dan juga aktivis
dalam aktiviti kemanusiaan.

 

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI