BIARPUN sambutan Aidilfitri tahun ini masih lagi diraikan dalam suasana pandemik Covid-19, ia bukanlah halangan untuk diraikan sama seperti tahun lalu dalam norma baharu.

Justeru bagi menyokong usaha kerajaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan mengalakkan rakyat Malaysia untuk duduk di rumah, Astro membawakan 270 program menarik di semua rangkaian platform Astro termasuklah televisyen, radio dan digital sepanjang Syawal ini.

Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, walaupun sambutan Aidilfitri pada tahun ini sekali lagi diraikan ketika penularan pandemik Covid-19 masih di tahap yang membimbangkan, ia tidak sedikitpun melunturkan semangat pihaknya untuk terus mencari ruang penambahbaikan bagi memberi impak hingga terus ke hati segenap pelanggan Astro.

Wakil Astro bersama pengacara Sherry Alhadad dan Alif Satar. (Gambar dalam kotak : Azlin Reza Azmi).

“Seperti yang telah dikongsikan sebelum ini, tema ‘Buka Lembaran Baharu’ telah dipilih khas untuk menerajui Kempen Ramadan Raya Astro 2021 kerana elemen tersebut membawa pengertian yang sungguh bermakna dalam menyuntik inspirasi sekaligus mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang pastinya terkesan akibat pandemik.

“Sebanyak 229 buah rancangan televisyen baharu pelbagai genre bakal disajikan di saluran-saluran Melayu Astro. Manakala stesen-stesen yang bernaung di bawah Astro Radio juga akan memperluaskan lagi penyampaian mesej ‘Buka Lembaran Baharu’ menerusi segmen yang dikeudarakan.

“Gempak, Ria X, Rojak Daily dan SYOK juga turut tidak ketinggalan memperbanyakkan pengisian yang seiringan dengan kempen ini di platform digital.

“Bagi peminat karya premium, filem-filem terbaharu turut dibawakan terus ke pawagam rumah anda menerusi platform Astro First dan Astro Best untuk dilanggan.

“Rocketfuel Entertainment juga hadir dengan buah tangan terbaharu menerusi dua buah lagu raya pada tahun ini,” ujarnya pada sesi sidang media secara virtual baru-baru ini.

Iklan

Sementara itu, iklan komersial terbitan Astro juga merupakan antara pengisian utama yang sering menjadi perhatian ramai dan cukup dinantikan setiap kali Syawal menjelma.

Ujar beliau, jika tahun lepas mereka hadir dengan genre animasi, tahun ini mereka kembali memilih naskhah pendek yang cukup dekat dengan hati masyarakat zaman sekarang.

Iklan

“Menerusi kisah ‘Singkap Dari Tingkap’, konsep jendela telah diangkat sebagai nadi kepada penceritaan kali ini bagi meneruskan kesinambungan tema ‘Buka Lembaran Baharu’.

“Plot twist kisah ini juga sarat dengan mainan emosi serta penuh dengan iktibar. Semoga kisah kali ini sekali lagi diterima baik dan mampu memberikan kesan yang mendalam seperti iklan-iklan komersial yang pernah diterbitkan sebelum ini,” ujarnya.